Pernah menjadi sekutu dalam gabungan yang sama pada Pilihan Raya Umum ke-15, pada 2018, sebelum berubah menjadi seteru pada awal 2020, selepas pergolakan politik dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini dilihat kembali ke arah membina semula kerjasama strategik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Keterbukaan ke arah perbincangan kerjasama PH dengan parti pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu dizahirkan Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beberapa ‘ancaman’ dan penentangan diterima PH daripada BN – rakan gabungannya dalam Kerajaan Persekutuan, antara faktor dilihat membuka pintu untuk PH dan Bersatu membentuk kerjasama.

Ia bermula dengan PRN Johor yang menyaksikan BN memutuskan untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menentang PH.

Penentangan itu berlarutan di PRN Negeri Sembilan, apabila BN membentuk persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) yang menghasilkan kemenangan untuk gabungan itu merampas kuasa daripada PH.

Ia sekali gus dilihat semakin mengeruhkan ketegangan antara dua parti.

BN dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026, baru-baru ini turut mendesak Datuk Anwar menyegerakan PRU16.

Malah ucapan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, acap kali mengeluarkan sindiran kepada Datuk Anwar, seolah-olah mereka bukan duduk dalam satu gabungan yang mentadbir Kerajaan Persekutuan.

Penganalisis melihat penjajaran politik PH/Bersatu jika direalisasikan, boleh memberi kelebihan kepada PH dan Bersatu untuk berdepan gabungan BN/PN.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, melihat jika PH/Bersatu menjadi realiti, ia memberi ruang kepada PH untuk menembusi kubu pengundi majoriti Melayu menerusi jentera akar umbi Bersatu, walaupun formula itu bakal berdepan cabaran besar dari segi penerimaan parti komponennya terutama Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Bagi PH kerjasama dengan Bersatu boleh membantu mengurangkan pecah undi di kerusi marginal (panas). Liabilitinya ialah risiko kehilangan keyakinan penyokong reformis serta ketegangan dengan DAP.

“Manakala saya lihat kelebihan kepada Bersatu akan membuka laluan untuk kembali relevan dan mendapat akses kepada jentera kerajaan, tetapi boleh menyebabkan parti itu hilang identiti sebagai pembangkang Melayu serta ditolak sebahagian penyokong tradisionalnya,” katanya.

Profesor Kehormat (Sains Politik), Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, melihat potensi kerjasama itu menjadi nyata, berikutan Bersatu yang kini berdepan konflik dengan PAS yang mengemudi PN, memerlukan ‘rumah untuk tumpang berteduh’, selain PH yang berdepan ‘penolakan’ BN.

“Jangan lihat perseteruan yang pernah berlaku antara PH/Bersatu sebelum ini. Bersatu perlu ambil keputusan drastik untuk bekerjasama dengan PH, sebab parti itu tidak akan mampu menang kerusi jika bergerak solo.

“Walaupun mungkin sudah agak terlewat sebelum PRU16 tiba, tetapi sekurang-kurangnya ia cukup untuk menyaingi pengaruh BN/PN, terutama di kawasan yang Bersatu masih kuat pengaruhnya,” ujarnya.

Pada PRN Negeri Sembilan, Bersatu yang bertanding solo menggunakan logo sendiri selepas berlaku pertikaian dengan PAS/PN, gagal memenangi sebarang kerusi.

Beliau menambah isu pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri dari Umno, Encik Najib Tun Razak, yang dilihat pemimpin PH sebagai bola tanggung untuk gabungan itu, boleh dimanfaatkan oleh Bersatu untuk menarik pengundi yang tegas menolak rasuah.

“Ada ramai pengundi yang menolak rasuah, tetapi dalam masa sama menolak PH. Jadi kelompok pengundi ini yang patut menjadi sasaran Bersatu untuk meraih undi nanti,” katanya.

Dr Mohammad Tawfik juga berpandangan PH tidak boleh dianggap lemah di sebalik ancaman dari luar dan dalam parti itu, kerana ia masih memiliki kedudukan kerajaan, kekuatan di bandar dan sokongan pengundi bukan Melayu.

“Namun, PH memang berdepan tekanan besar daripada isu reformasi yang perlahan, kegelisahan DAP terhadap janji reformasi yang belum tertunai, isu pengampunan Encik Najib dan persoalan hubungan dengan Umno/BN,” katanya.

Pada Konvensyen DAP Ogos lalu, parti itu yang awalnya memberi isyarat akan meninggalkan Kerajaan Perpaduan, memutuskan untuk kekal dalam kerajaan demi kestabilan politik.

DAP sudah beberapa kali terbuka menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan Kerajaan Perpaduan menunaikan pelbagai janji reformasi, termasuk dalam usaha bertahun-tahun parti itu untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), yang dikatakan tidak selaras dengan kerangka Dasar Pendidikan Malaysia.

Malah, faktor itu juga dikatakan antara punca menyebabkan sokongan terhadap DAP dilihat merudum dalam PRN Sabah dan Johor.

Parti itu pada September ini turut memutuskan Setiausaha Agungnya, Encik Anthony Loke, meletak jawatan Menteri Pengangkutan dalam Kabinet, sebagai reaksi terhadap pengampunan bersyarat Encik Najib.

Selain DAP, PH turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan parti dari Sabah.

Bagaimanapun Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meninggalkan PH pada 2025.