PH Johor: Ada rebutan kerusi tapi yakin cari titik persefahaman
PH Johor: Ada rebutan kerusi tapi yakin cari titik persefahaman
Timbalan Pengerusi PH Johor harap agihan kerusi Pilihan Raya Negeri dimuktamad segera
KULAI: Pembahagian kerusi membabitkan komponen Pakatan Harapan (PH) Johor untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diharap dapat dimuktamadkan dengan segera.
Timbalan Pengerusi PH Johor, Cik Teo Nie Ching, berkata Jawatankuasa Agihan Kerusi yang ditubuhkan pada 6 Mac juga diberi peranan penting bagi memastikan pembahagian kerusi antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan Parti Amanah Negara (Amanah) berjalan lancar.
“Wakil bagi setiap parti berada dalam jawatankuasa tersebut bagi membincangkan soal pembahagian kerusi membabitkan ketiga-tiga parti secara mendalam.
“Kami akan menghormati prosedur yang ditetapkan itu dan akan berunding secara berhemah antara satu sama lain.
“Saya harap pembahagian kerusi ini dapat dimuktamadkan secepat mungkin supaya ia dapat memberi ruang kepada setiap parti untuk membuat persediaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Internet Selamat di Bazar Ramadan Temenggong, pada 8 Mac.
Pada 21 Februari, Pengerusi Amanah Johor, Encik Aminolhuda Hassan, mengumumkan parti itu sudah mengenal pasti 20 kerusi yang mahu ditandingi, lapor MalaysiaGazette.
Pada 4 Mac pula, Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, menyatakan pihaknya mengenal pasti 28 kerusi yang berpotensi ditandingi pada PRN Johor yang bermungkinan diadakan pada 2026.
Cik Teo, yang juga Pengerusi DAP Johor, berkata DAP juga sudah mengenal pasti kerusi yang mahu ditandingi termasuk kerusi yang ditandingi pada PRN Johor pada 2022.
Ahli Parlimen Kulai tersebut mengakui ada berlaku perebutan kerusi dalam perbincangan yang dilakukan antara parti dalam gabungan PH namun itu bukanlah satu perkara yang membimbangkan.
“Mestilah ada perebutan kerusi, mana boleh tak ada.
“Itu tak mengapa, kita akan lalui prosedur yang digariskan bagi mencari titik persefahaman,” ujarnya.
Sebelum ini, Encik Aminolhuda menyatakan pembahagian kerusi hanya membabitkan tiga parti tersebut dan tidak melibatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Sementara itu, Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Encik Nornekman Osman, berkata semua blok pembangkang di Johor perlu bersatu dan hanya meletakkan satu calon mewakili mereka bertanding menentang Barisan Nasional (BN) dan PH dalam PRN nanti.
Beliau berkata formula tersebut adalah yang terbaik untuk menang dan pihaknya terbuka dengan semua parti pembangkang di negeri ini bagi mengadakan perbincangan.
“Matlamat kita adalah satu lawan satu, pembangkang dengan BN atau PH jika mereka bergabung atau pembangkang dengan blok BN dan PH jika mereka tidak bergabung. Ini strategi kita di blok pembangkang.
“Kita namakan satu calon sahaja dan semua parti pembangkang nanti akan mempunyai langkah sederap.
“Kita harus sebulat suara dan lihat kemenangan itu satu matlamat utama,” katanya.
Menurutnya, Pejuang Johor tidak menolak akan bekerjasama dengan blok Perikatan Nasional (PN) dalam PRN nanti dan perbincangan di peringkat negeri sudah beberapa kali diadakan baru-baru ini.
“Hubungan kita dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di Johor amat baik.
“Kita ada persamaan dan akan adakan perjanjian dengan Muda dan parti lain.
“Tak berbaloi kalau semua nak bertanding tapi tak beri kemenangan pada blok kita kerana ini satu percaturan yang rugi, jadi kita perlu bijak letak calon dan (semua parti pembangkang) berikan sokongan,” katanya.

