PKR Johor kenal pasti 28 kerusi berpotensi ditandingi dalam PRN
PKR Johor kenal pasti 28 kerusi berpotensi ditandingi dalam PRN
Amanah Johor mahu ambil semula kerusi DUN Puteri Wangsa
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor telah mengenal pasti sebanyak 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berpotensi untuk ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Pengerusi MPN PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu diputuskan selepas sesi pemukiman Bengkel Pilihan Raya PKR 2026 yang berlangsung selama dua hari pada 28 Februari dan 1 Mac di sebuah hotel di Muar.
Beliau berkata sasaran kerusi itu turut dimaklumkan kepada Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, yang mengetuai Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat ketika menyampaikan amanat dalam Bengkel Pemantapan Jentera Pilihan Raya peringkat Johor dan Melaka di lokasi sama.
Menurutnya, penetapan sasaran berkenaan dibuat selepas penyelarasan kekuatan organisasi melibatkan kesemua 26 cabang PKR di Johor.
“Sasaran ini mencerminkan kedudukan semasa parti serta tumpuan kepada kawasan yang dikenal pasti mempunyai potensi saingan yang lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 Mac.
Beliau berkata PKR Johor turut mengambil pendekatan terbuka terhadap pelbagai kemungkinan landskap politik semasa termasuk situasi pertandingan tiga penjuru.
Selain itu, katanya parti juga mengambil kira kemungkinan kesinambungan kerjasama dalam kerangka gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta kemungkinan pilihan raya negeri dan pilihan raya umum diadakan sama ada serentak atau berasingan.
Dalam masa sama, pengukuhan jentera parti kini ditumpukan kepada beberapa kawasan DUN yang dikenal pasti sebagai tumpuan melalui penyelarasan operasi lapangan serta penggemblengan kekuatan organisasi secara lebih tersusun.
Dr Zaliha berkata perkembangan itu menandakan peringkat baru gerak kerja PKR Johor yang kini bergerak dengan sasaran lebih jelas dan strategi lebih terarah menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Sementara itu, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain menegaskan tiada sebarang rundingan politik sedang atau akan diadakan dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) seperti yang pernah berlaku sebelum PRN Johor lalu.
Beliau berkata parti itu akan membawa suara dalam perbincangan PH bagi mengambil semula kerusi DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini dipinjamkan kepada Muda.
Beliau berkata langkah itu diambil sebagai tanda protes terhadap tindakan Muda yang menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Keputusan ini merupakan pendirian tegas Amanah terhadap tindakan Muda yang jelas bertentangan dengan semangat kestabilan politik negara,” katanya.
Menurutnya, sebarang kerjasama politik perlu berteraskan kesetiaan kepada mandat rakyat serta komitmen terhadap kestabilan kerajaan.
“Tindakan menarik sokongan secara unilateral adalah tidak bertanggungjawab dan memberi kesan kepada keyakinan rakyat,” katanya.
Dr Zuhan berkata kerusi DUN Puteri Wangsa pada asalnya diperuntukkan kepada Muda atas dasar kepercayaan dan strategi bersama bagi memperkukuh blok reformasi dalam gabungan pembangkang ketika itu.
Namun katanya perkembangan politik semasa memerlukan penilaian semula bagi memastikan konsistensi serta kejelasan pendirian gabungan.
Beliau menegaskan Amanah Johor kekal komited bersama PH dalam memperkukuh Kerajaan Perpaduan serta memastikan setiap kerusi yang ditandingi mencerminkan kestabilan dan kesepaduan perjuangan kepada rakyat Johor.
Pada PRN Johor 2022, BN telah memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN; manakala PH melalui DAP meraih 10 kerusi, PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi; serta Muda satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh tiga kerusi.

