Pakatan Harapan (PH) Johor menyambut baik keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu, 11 Julai, kerana memberi peluang lebih luas kepada pengundi yang berada di luar negeri untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengerusi PH Johor, Encik Aminolhuda Hassan, menyambut baik pemilihan hari hujung minggu untuk pengundian, yang disifatkannya sebagai langkah positif bagi meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Beliau yakin keputusan itu akan memastikan kerajaan negeri yang dibentuk kelak benar-benar mencerminkan suara majoriti rakyat.

“Syukur, penetapan hari Sabtu ini membuka ruang kepada lebih ramai anak Johor untuk pulang dan melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Saya menyeru semua pengundi di luar negeri, baik di Singapura, Kuala Lumpur, Sabah mahupun Sarawak, untuk pulang demi memastikan kerajaan yang terhasil mendapat mandat rakyat yang utuh,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Encik Aminolhuda Hassan (berdiri), ketika perjumpaan bersama penduduk Kampung Parit Raja, Muar.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Encik Aminolhuda Hassan (berdiri), ketika perjumpaan bersama penduduk Kampung Parit Raja, Muar. - Foto FACEBOOK CIKGU HUDA

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman SPR yang menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, 7 Julai bagi pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari pengundian bagi PRN Johor.

Menurut Encik Aminolhuda, persiapan PH Johor kini berada di tahap yang memuaskan, dengan perancangan kempen dan manifesto parti sedang dimuktamadkan.

Manifesto tersebut akan menjadi tawaran utama gabungan itu kepada rakyat sepanjang tempoh berkempen nanti.

“Insya-Allah, kami akan melancarkan manifesto yang menjelaskan hala tuju dan wawasan PH untuk masa depan Johor,” kata beliau.

“Kami mahu membawa Johor melangkah lebih jauh dengan memanfaatkan kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan, bukannya sekadar mengekalkan kemajuan sedia ada,” tambah beliau.

Beliau menekankan bahawa pembangunan negeri memerlukan kerjasama semua pihak agar manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

PH Johor akan terus mengutamakan politik berteraskan perpaduan serta semangat saling menghormati antara pelbagai kaum dan agama.

Menurut beliau, kemajuan negeri bergantung kepada kematangan rakyat dalam memupuk keharmonian tanpa terjerumus ke dalam sentimen perkauman yang memecahbelahkan.

“Kita mahu membina Johor yang lebih maju dengan semangat kerjasama dan saling menghormati.

“Tidak kira bangsa, agama atau latar belakang, yang penting ialah kesediaan untuk bekerjasama demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam dalam memayungi kerukunan hidup masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Encik Aminolhuda menambah, urusan penentuan calon-calon PH Johor bagi mendepani saingan PRN tersebut kini berada di peringkat akhir, dengan hanya segelintir kawasan masih diperincikan.

Barisan calon tersebut bakal dimuktamadkan selepas melalui proses penelitian oleh Majlis Presiden PH demi menjamin keutuhan strategi yang selari antara pihak negeri dengan pusat.

“Sebahagian besar calon sudah dikenal pasti dan kini hanya menunggu proses akhir sebelum diumumkan secara rasmi,” katanya.