Topik diikuti
Pergi ke BHkuUmno perlu ambil iktibar daripada perpecahan parti pembangkang
Umno perlu ambil iktibar daripada perpecahan parti pembangkang
Umno perlu ambil iktibar daripada perpecahan parti pembangkang
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini berdepan cabaran besar meneruskan kelangsungan politiknya selepas Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengambil keputusan menamatkan hubungan politik dengan parti itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, secara sinis berkata peribahasa Melayu, ‘Bersatu Teguh, Bercerai Roboh’ kini seolah-olah bertukar menjadi ‘Bersatu Roboh, Bercerai Sungguh’, susulan perkembangan terbaharu dalam hubungan antara kedua-dua parti berkenaan.
Menurut beliau, persoalan utama yang timbul ketika ini adalah sama ada Bersatu mampu terus berdiri kukuh selepas kehilangan rakan politik utamanya dalam Perikatan Nasional (PN).
“Apakah Bersatu boleh berdiri teguh selepas diceraikan oleh PAS?”, katanya dalam satu kenyataan pada 11 Jun.
Datuk Mohd Puad berkata keadaan keadaan yang dihadapi Bersatu ketika ini memperlihatkan kedudukan parti itu semakin sukar, selepas hubungan yang terjalin dalam PN tidak lagi dapat dipertahankan.
Beliau turut menggunakan analogi perkahwinan dan perceraian bagi menggambarkan keadaan politik semasa antara PAS dengan Bersatu.
Jelasnya, pihak yang ditinggalkan dalam sesebuah hubungan lazimnya akan berdepan cabaran untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, apatah lagi apabila kehilangan sokongan yang sebelum ini menjadi kekuatan utama.
Namun pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan pihak yang gemar menukar rakan politik juga perlu dinilai dengan berhati-hati.
“Suami yang suka berkahwin dan bercerai juga menyusahkan.
“Suka berkahwin tetapi suka menceraikan.
“Maka kena berhati-hati jika mahu menjalinkan kerjasama dengannya,” katanya.
Beliau mendakwa PAS sendiri sebelum ini pernah melontarkan kritikan terhadap Bersatu, termasuk dakwaan parti itu tidak jujur dalam hubungan politik yang dibentuk.
Datuk Mohd Puad berkata perkembangan tersebut memberi pengajaran kepada parti politik lain mengenai pentingnya keikhlasan dan kepercayaan dalam sesebuah kerjasama.
Menurutnya, kerjasama politik yang dibina hanya untuk memenuhi kepentingan jangka pendek, berisiko tidak bertahan lama, apabila matlamat tertentu gagal dicapai.
“Dalam politik, ada yang suka menjalinkan kerjasama sementara.
“Hubungan seperti itu boleh berakhir pada bila-bila masa apabila matlamat yang diinginkan tidak tercapai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan Umno perlu mengambil iktibar daripada perkembangan yang berlaku dalam PN dan sentiasa berhati-hati dalam menentukan sebarang bentuk kerjasama politik akan datang.
