Topic followed successfully
Go to BHkuPH Johor dikecam kerana tolak Adun lantikan tapi terima senator
PH Johor dikecam kerana tolak Adun lantikan tapi terima senator
PH Johor dikecam kerana tolak Adun lantikan tapi terima senator
JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor dikecam dengan dakwaan bersikap dwistandard: menolak pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Johor, namun pada masa sama menerima pelantikan senator di peringkat Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah berkata kenyataan PH Johor yang mempersoalkan penambahan Adun lantikan bukan sahaja mengelirukan fakta, malah menunjukkan kemunafikan politik.
Menurut beliau, amalan melantik Adun bukan hal baharu kerana beberapa negeri lain sudah lebih awal melaksanakan mekanisme sama termasuk Sabah dan Pahang.
Jelasnya, Johor bukan negeri pertama melaksanakan sistem itu dan mekanisme berkenaan termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.
“Penambahan Adun lantikan di Johor adalah sah mengikut proses perundangan dan pindaan undang-undang negeri.
“Ia adalah mekanisme yang diperuntukkan bagi memastikan Dewan Negeri dapat berfungsi dengan lebih komprehensif, berkesan dan responsif mengikut keperluan semasa negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada 13 Mei.
Encik Mohd Hairi yang juga Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia turut mempersoalkan konsistensi PH Johor, memandangkan Pengarah Komunikasi mereka sendiri, Sheikh Umar Bagharib Ali, baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada 11 Mei lalu.
Pelantikan senator tersebut, tambahnya, dicadangkan oleh kerajaan Persekutuan pimpinan PH sendiri, dan bukannya melalui proses pilihan raya langsung oleh rakyat.
“Bagaimana pula dengan pelantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Dr Fuziah Salleh sebagai senator yang turut memegang jawatan Menteri dan Timbalan Menteri?
“Adakah pelantikan senator juga dianggap jalan mudah dan bukan penyelesaian tepat?” katanya.
Beliau berkata jika PH Johor benar-benar konsisten dengan pendirian mereka, gabungan itu sepatutnya turut membantah pelantikan senator daripada parti sendiri.
Jelasnya, tindakan hanya membantah pelantikan di Johor tetapi menerima pelantikan yang memberi manfaat kepada parti mereka menunjukkan sikap tidak konsisten.
Dalam pada itu, Encik Mohd Hairi berkata cadangan PH Johor supaya persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan tidak berkaitan dengan isu Adun lantikan.
Menurut beliau, proses persempadanan semula berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan tidak tertakluk kepada desakan politik mana-mana pihak.
Beliau berkata kerajaan negeri menghormati kebebasan SPR dalam menentukan sebarang urusan berkaitan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Beliau turut mendakwa kempen kutipan tandatangan yang dilancarkan PH Johor bagi membantah penambahan Adun lantikan hanyalah gerakan politik yang tidak mempunyai kesan undang-undang.
“Kerajaan Johor tegas bahawa setiap keputusan yang diambil adalah berdasarkan kepentingan terbaik Bangsa Johor selaras dengan arahan Sultan Johor dan semangat tadbir urus bertanggungjawab,” katanya.
Sebelum ini, PH Johor membantah cadangan penambahan lima Adun lantikan dan mencadangkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi memastikan representasi rakyat lebih seimbang.
