Topik diikuti
Pergi ke BHkuPH kini pembangkang di Melaka, 5 Adun tarik sokongan
PH kini pembangkang di Melaka, 5 Adun tarik sokongan
PH kini pembangkang di Melaka, 5 Adun tarik sokongan
AYER KEROH: Pakatan Harapan (PH) Melaka kini tidak lagi menjadi sebahagian daripada pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka selepas gabungan itu memutuskan untuk menarik sokongan, menyusuli kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026.
Keputusan itu menyaksikan wakil PH membabitkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan seorang wakil Parti Amanah Negara (Amanah) melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri termasuk jawatan Exco, Timbalan Exco, Timbalan Speaker serta lantikan berkaitan pentadbiran negeri.
Pengerusi DAP Melaka, Encik Khoo Poay Tiong, berkata PH tidak boleh terus berada dalam kerajaan selepas menolak usul yang dibawa pentadbiran negeri kerana ia bercanggah dengan prinsip politik yang dipegang parti.
“Kita telah mengambil pendirian yang jelas menolak RUU ini kerana ia bercanggah dengan prinsip demokrasi pilihan raya. Oleh itu, kita perlu keluar daripada Kerajaan Negeri Melaka.
“Kita tidak boleh pada masa menolak usul kerajaan, dalam masa yang sama terus berada dalam kerajaan dan menggunakan segala kemudahan kerajaan.
“Itu tidak adil,” katanya pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di Seri Negeri, di Ayer Keroh, Melaka, pada 14 Julai, lapor Astro Awani.
Beliau menambah semua wakil rakyat PH yang melepaskan jawatan itu bagaimanapun kekal sebagai Adun dan akan menjalankan peranan sebagai pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Encik Khoo berkata keputusan itu juga bukan berpunca daripada perkembangan politik semasa atau persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya dibuat berdasarkan pendirian parti terhadap isu Adun lantikan.
Beliau menegaskan DAP dan PH berpandangan Adun sepatutnya dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya, bukannya dilantik.
“Sekiranya kerajaan negeri memerlukan kepakaran daripada golongan profesional atau pakar dalam sesuatu bidang, mereka boleh dilantik sebagai penasihat tanpa perlu diberikan kedudukan sebagai Adun.
“Apabila seseorang dilantik sebagai Adun, mereka mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam perbahasan dan mengundi di DUN.
“Itu yang bercanggah dengan prinsip demokrasi pilihan raya yang kita pegang,” tambahnya.
Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, memberi jaminan bahawa pentadbiran kerajaan negeri tidak akan terjejas susulan keputusan DAP keluar daripada kerajaan negeri.
Beliau berkata BN tidak bergantung kepada mana-mana parti untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.
Menurutnya BN memperoleh mandat yang mencukupi untuk mentadbir Melaka secara bersendirian, manakala kerjasama yang terjalin bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan hanyalah sebagai manifestasi semangat persefahaman yang diamalkan di peringkat Persekutuan.
