Negeri Sembilan akan menyusuli Johor untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, berkuat kuasa 5 Jun.

Dalam satu sidang media khas pada malam 4 Jun, Datuk Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengumumkan pembubaran DUN itu, selepas mendapat izin Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada malam sama.

Datuk Aminuddin juga berkata, PH yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) akan bertanding di semua 36 kerusi DUN, dengan perbincangan mengenai pembahagian kerusi juga sudah diselesaikan.

Jelas beliau, pembubaran itu mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, dan diyakini dapat menamatkan kemelut politik yang berlaku di negeri itu sejak April lalu, termasuk selepas Umno/Barisan Nasional (BN) hilang percaya dan menarik sokongan terhadap kepimpinannya.

“Alhamdulillah pada 8.30 malam tadi (4 Jun) saya telah menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Tuanku Muhriz telah mengizinkan untuk bubarkan DUN bermula 5 Jun, Jumaat.

“Sebelum ini ada pihak (Umno/BN) tarik sokongan (terhadap kepimpinan saya) dan kemudian sokong, kemudian tak sokong, jadi sekarang kita serahkan mandat semula kepada rakyat,” katanya.

Datuk Aminuddin berkata, pihaknya akan menghantar notis pembubaran DUN itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi membolehkan penetapan tarikh penamaan calon dan hari mengundi PRN16 itu.

Pembubaran DUN itu dibuat lebih awal berbanding tempoh tamat penggal DUN Negeri Sembilan pada September 2028.

Pengumuman pembubaran DUN Negeri Sembilan itu menamatkan spekulasi yang hangat bertebaran sebelum ini kemungkinan PRN Negeri Sembilan, selepas pucuk pimpinan PH negeri mengadakan mesyuarat khas di kediaman rasmi Menteri Besar, pada 2 Jun lalu.

Sebelum ini, PRN terakhir bagi Negeri Sembilan diadakan pada 12 Ogos 2023.

Dalam PRN15 itu, PH menguasai 17 kerusi DUN, manakala Umno/BN memenangi 14 kerusi, dan baki lima kerusi dimenangi blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN).

Keputusan PRN15 itu menyaksikan PH dan Umno/BN bekerjasama membentuk kerajaan di Negeri Sembilan.

Terdahulu, kemelut politik di Negeri Sembilan berpanjangan menyusuli krisis adat dan perlembagaan yang berlaku di negeri itu, selepas terdapat usaha oleh empat Undang (pembesar adat dan ketua daerah) untuk menurunkan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.