Polemik menyusuli konflik takhta diraja dan adat di Negeri Sembilan semakin serius dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri itu menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun, pada 27 April.

Pengerusi Umno/BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata keputusan dibuat secara sebulat suara membabitkan kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno/BN Negeri Sembilan, menyusuli kegagalan Datuk Aminuddin menyelesaikan krisis adat yang berlaku di negeri itu.

“Saya bersama 14 Adun yang mewakili Umno/BN Negeri Sembilan sangat dukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku yang dilihat bakal menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dan secara tidak langsung memberi kesan kepada kestabilan kerajaan serta keharmonian rakyat.

“Justeru, kesemua 14 Adun Umno/BN Negeri Sembilan dengan ini, sebulat suara hilang kepercayaan kepada Menteri Besar (Datuk Aminuddin) dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau,” katanya, yang juga Adun Pertang pada sidang media di Seremban, Negeri Sembilan, pada 27 April.

Datuk Jalaluddin berkata Umno mendukung penuh serta mempertahankan institusi adat dan perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Kami mahukan kerajaan yang stabil supaya dapat memainkan peranan sebaik mungkin dalam pentadbiran negeri, sekali gus dapat memberikan fokus kepada objektif kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri,” katanya lagi.

Semua Adun Umno/BN hadir sidang media berkenaan kecuali Adun Rantau yang juga Timbalan Presiden Umno merangkap Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang berada di Brunei untuk Mesyuarat Menteri-Menteri Asean-Kesatuan Eropah ke-25.

Mengulas lanjut, dalam satu kenyataan kemudian, Datuk Jalaluddin yang juga Exco Kanan, berpandangan satu jawatankuasa khas pendamai perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan krisis adat dan perlembagaan Negeri Sembilan ketika ini.

“Jawatankuasa itu perlu dianggotai individu atau mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya.

Terdahulu, mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim, berpendapat Datuk Aminuddin perlu segera mengambil inisiatif memanggil semula Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan bagi meredakan dan menyelesaikan krisis berkenaan.

Polemik itu bermula daripada konflik perebutan takhta diraja pada 19 April, apabila Undang Yang Empat (pembesar adat dan ketua daerah) di Negeri Sembilan mengisytiharkan penyingkiran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, atas dakwaan salah laku.

Pada 20 April, Datuk Aminuddin menolak cubaan tersebut dengan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sah, dengan alasan seorang daripada Undang itu telah dipecat daripada jawatannya sejak 13 Mei 2025.

Empat Undang berkenaan iaitu dari Sungai Ujong, Johol, Jelebu dan Rembau kemudian mendesak penyingkiran Datuk Aminuddin kerana didakwa tidak lagi layak menerajui pentadbiran kerajaan negeri apabila menolak penyingkiran Tuanku Muhriz itu.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi dan sebanyak 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Ketika ini, PH memegang 17 kerusi.

Jika Umno mahu menubuhkan kerajaan, ia memerlukan sokongan lima kerusi dipegang Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Datuk Aminuddin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipercayai menghadap Tuanku Muhriz, pada 27 April.

Media Malaysia melaporkan pertemuan itu difahamkan bagi membincangkan krisis pentadbiran selepas kesemua 14 Adun BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

Perkembangan sama turut menyaksikan parti politik di Negeri Sembilan termasuk PN yang merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS); selain Parti Tindakan Demokratik (DAP) mula mengadakan mesyuarat tergempar.

Sin Chew Daily melaporkan Datuk Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri mengarahkan semua 17 Adun daripada gabungan itu untuk menghadiri mesyuarat pada 3 petang.

Ketua Pembangkang Negeri Sembilan yang juga Adun Labu mewakili Bersatu, Encik Mohamad Hanifah Abu Baker, berkata lima Adun PN bersedia untuk bekerjasama dengan 14 Adun BN membentuk kerajaan negeri dan menjamin kestabilan serta kelangsungan pentadbiran Negeri Sembilan.

“Kami kesal kerana krisis ini terus berlarutan dan menjejaskan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri sehingga Sidang Dewan Undangan Negeri Sembilan terpaksa ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baru.

“Ini membuktikan Datuk Aminuddin gagal menangani krisis ini secara bertanggungjawab demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.