KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia telah berikrar untuk memperketat penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan ke atas pengendali kenderaan berat yang melanggar undang-undang, menyusuli kemalangan di lebuh raya melibatkan beberapa kenderaan pada 23 Disember yang meragut tujuh nyawa.
Lebih 1,400 kematian melibatkan kenderaan berat dilaporkan dalam enam tahun yang lepas, kata polis trafik.
Kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) Melaka berlaku apabila roda depan lori yang menuju ke selatan tercabut dan tercampak di tengah-tengah jalan raya, kata Ketua Polis Alor Gajah, Encik Ashari Abu Samah.
Sebuah bas pelancong kemudian melanggar roda tersebut dan terbabas ke jalan raya yang menghala ke arah utara, sebelum bertembung dengan sebuah trak kecil dan dua kereta yang datang dari arah bertentangan.
Pemandu bas tersebut, serta keluarga lima beranak dalam salah sebuah kereta terbunuh.
Seorang wanita warga Singapura berusia 66 tahun yang berada di dalam bas pelancong juga antara yang terkorban, manakala 33 lagi cedera.
Dalam kenyataan pada 24 Disember, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan itu dan berjanji tindakan akan diambil oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap pengendali lori dan bas pelancong tersebut.
“JPJ akan terus menjalankan tindakan penguatkuasaan yang ketat terhadap kenderaan komersial berat untuk memastikan semua aspek keselamatan dipatuhi demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya, yang dipetik laporan The Straits Times (ST).
Datuk Aedy Fadly Ramli, Ketua Pengarah JPJ, berkata pada 24 Disember bahawa JPJ akan merampas kenderaan komersial dan membatalkan hak milik kenderaan jika pengendali didapati gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 2010. Ini akan dilakukan menerusi operasi khas yang akan dijalankan di serata negara.
Operasi akan datang ini akan melibatkan pemeriksaan terhadap muatan yang dibawa, dokumentasi dan kepatuhan undang-undang trafik.
Di media sosial, pengguna mengatakan bahawa penguatkuasaan yang lemah dalam memastikan kenderaan berat berada dalam keadaan baik serta kekurangan langkah keselamatan oleh pengendali bas pelancong sebagai faktor penyumbang kepada jumlah kemalangan maut yang tinggi.
Warganet juga membangkitkan isu jalan raya yang kurang terang di lokasi kemalangan, berhampiran hentian rehat Ayer Keroh di sepanjang lebuhraya.
Di Malaysia, semua kenderaan komersial perlu menjalani pemeriksaan rutin di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan, namun tidak jelas sama ada peraturan ini dikuatkuasakan dengan tegas.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik, Encik Mohd Yusri Hassan Basri, dari ibu pejabat polis Malaysia, berkata 1,457 kematian dilaporkan daripada 3,500 kemalangan melibatkan lori di seluruh Malaysia dari Januari 2019 hingga November 2024, satu angka yang sangat “membimbangkan”.
Bagi kemalangan melibatkan bas, Datuk Seri Yusri berkata 153 kematian dilaporkan dari 548 kemalangan dalam tempoh yang sama.
Malaysia mencatatkan 6,443 kematian jalan raya pada 2023.
Polis Diraja Malaysia melaporkan 5,364 kematian akibat kemalangan maut dari Januari hingga Oktober 2024, dengan 825 melibatkan lori.
Encik Wan Agyl Wan Hassan, pengasas My Mobility Vision, berkata pihak berkuasa perlu meningkatkan pengawasan dan menggunakan teknologi lebih canggih untuk keselamatan jalan raya dan penyelenggaraan kenderaan.
“Tragedi Ayer Keroh seharusnya menjadi titik perubahan, mendorong kita untuk mengutamakan pencegahan, tanggungjawab, dan keselamatan melalui pembaharuan yang boleh dilaksanakan, bukannya sekadar reaksi,” kata Encik Wan Agyl.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg