Seorang wanita Singapura berusia 29 tahun maut dalam kemalangan pada 24 Disember, selepas motosikal yang diboncengnya merempuh pembahagi jalan di lebuh raya di Johor.
Lelaki Malaysia berusia 28 tahun yang menunggang motosikal itu turut dilaporkan terkorban.
Polis dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada 5.24 petang, kata Ketua Polis Daerah Muar, Encik Raiz Mukhliz Azman Aziz, dalam satu kenyataan pada 24 Disember.
Kemalangan tersebut berlaku di kilometer 130.1 bagi laluan utara Lebuhraya Utara-Selatan.
Encik Raiz berkata lelaki tersebut hilang kawalan ke atas motosikalnya, yang menyebabkan beliau merempuh pembahagi jalan di tengah lebuh raya.
Lelaki itu mengalami kecederaan di kepala, lengan dan badan, manakala wanita tersebut cedera di kepala, badan dan kaki.
Kedua-dua mangsa, yang dipercayai dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, lapor The Straits Times.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan atas kejadian ini.
Polis Malaysia menasihati orang ramai agar memandu dengan berhati-hati dan mematuhi had kelajuan yang ditetapkan, terutama semasa musim perayaan dan cuti sekolah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg