Wanita warga Singapura yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya dekat Ayer Keroh, Johor, pada 23 Disember merupakan bekas guru jahit di Masjid Mujahidin di Queenstown.
Allahyarhamha Lamrah Asid Ali, 66 tahun, merupakan salah seorang daripada tujuh yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan itu.
Dalam satu hantaran di Facebook, warga Masjid Mujahidin dan Pusat Pembelajaran Mujahidah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamha.
“Innalillahi wainnailaihi rojiun. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Lamrah Asid Ali yang kehilangan nyawanya dalam kemalangan itu.
“Semoga Allah mengampuninya, merahmatinya dan dipermudahkan urusan keluarganya. Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan solehah. Amin,” menurut hantaran itu.
Ditubuhkan pada 2006, Pusat Pembelajaran Mujahidah di masjid tersebut menawarkan pelbagai kursus kemahiran bagi pembantu rumah asing di Singapura.
Allahyarhamha Lamrah Asid, seorang bekas guru jahit di pusat itu, merupakan penumpang bas persiaran dalam perjalanan ke Singapura apabila satu perlanggaran berlaku.
Kemalangan membabitkan bas, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kereta itu meragut tujuh nyawa manakala 33 yang lain cedera.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, rempuhan itu dicetuskan oleh tayar hadapan kanan yang tercabut dari sebuah lori dan tercampak di tengah lebuh raya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sebuah lori dan bas masing-masing dipandu lelaki berusia 31 tahun dan 56 tahun dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.
Menurutnya apabila tiba di tempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori berkenaan tercabut dan berada di bahagian tengah lebuh raya.
“Kemalangan berlaku apabila bas dengan muatan 27 penumpang yang lalu di tempat kejadian terlanggar tayar itu dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Semasa terbabas ke lorong bertentangan, bas itu bertembung dengan sebuah kereta hingga kereta itu terbabas ke lorong kiri jalan dan melanggar penghadang jalan.
“Bas itu kemudian merempuh pula dengan sebuah treler dan MPV yang dinaiki lapan sekeluarga,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Antara yang maut ialah lima sekeluarga yang berada dalam MPV itu: Khairul Ikhwan Mazupi, 32 tahun; isterinya Fadzlenna Ramli, 32 tahun; anak lelaki mereka Muhammad Umar, dua tahun; dan ibu bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66 tahun, dan Fauziah Jaafar, 69 tahun. Pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56 tahun, turut kehilangan nyawa.
Kemalangan yang berlaku berhampiran kawasan Rehat Ayer Keroh kira-kira 8:40 malam itu menyebabkan kesesakan lalu lintas selama empat jam di kedua-dua arah.
Antara yang terselamat dalam nahas itu ialah anggota keluarga isteri penerbit Channel News Asia, Encik Zainudin Afandi. Dalam catatan Facebook, Encik Zainudin berkongsi kesedihannya apabila mengetahui kejadian itu.
“Bapa saudara, ibu saudara, sepupu, dan suaminya, dari pihak isteri saya adalah antara penumpang yang terlibat dalam kemalangan tragik itu. Kesemua mereka mengalami kecederaan kaki dan (bahagian) belakang (badan),” tulisnya.
Encik Zainudin kemudian memaklumkan kepada Berita Harian (BH) bahawa sepupu isterinya dan suaminya telah keluar dari hospital, walaupun kedua-duanya masih pulih daripada kecederaan, termasuk patah tangan dan kaki bengkak.
Sementara itu, bapa saudara dan ibu saudara isterinya masih dirawat di Hospital Besar Singapura kerana kecederaan pada bahagian belakang badan dan kaki.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg