KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan injunksi sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Encik Mohd Azizi Abu Naim, untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu.
Ini atas alasan beliau masih penyandang yang sah.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain pada 27 Jun memutuskan demikian selepas mendapati Encik Mohd Azizi tidak berdepan kemudaratan sekiranya PRK itu dijalankan kerana beliau masih boleh menyertai pilihan raya itu.
Selain itu, mahkamah menyatakan bahawa injunksi sementara itu tidak boleh diberikan bagi menghalang SPR daripada menjalankan tugasnya mengikut Perlembagaan, terutamanya apabila telah dimaklumkan terdapat kekosongan kerusi DUN.
Mahkamah turut memerintahkan Encik Mohd Azizi membayar kos sebanyak RM7,000 ($2,012) kepada setiap responden, lapor Kosmo!.
Dalam saman pemula yang difailkan pada 25 Jun lalu, Encik Mohd Azizi selaku plaintif menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan SPR selaku defendan.
Sementara itu, SPR pada 28 Jun menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.
“Sehubungan itu, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini,” katanya pada sidang media di sini pada 28 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Ramlan berkata tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga 11.59 malam 16 Ogos depan.
Pada 19 Jun lalu, DUN Kelantan mengumumkan bahawa kerusi DUN Nenggiri kosong bermula tarikh itu selepas menerima satu notis bertulis daripada Bersatu pada 13 Jun lalu, yang antara lain, menyatakan Encik Mohd Azizi telah hilang keahlian Bersatu seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN terbabit.
Encik Mohd Azizi dilucutkan keahlian dari Bersatu kerana menyokong kepimpinan Perdana Menteri, sekali gus bercanggah dengan sasaran pucuk kepimpinan tertinggi parti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg