KOTA BHARU: Satu lagi pilihan raya kecil (PRK) dijangka diadakan selepas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, mengumumkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri mulai 19 Jun.
Kerusi itu sebelum ini disandang Encik Mohd Azizi Abu Naim daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Datuk Mohd Amar berkata keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Encik Mohd Azizi, pada 13 Jun dan Bersatu pada 12 Jun.
Menurut beliau, notis itu memaklumkan mengenai kedudukan Encik Mohd Azizi yang hilang keahlian dalam Bersatu, sekali gus menyebabkan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.
“Selepas meneliti dan berpuas hati dengan surat pemakluman itu, maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri diwakili oleh Mohd Azizi.
“Maka dengan ini menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis kekosongan. Surat pemakluman itu akan disampaikan kepada SPR pada hari ini (19 Jun),” katanya, lapor Sinar Harian.
Encik Mohd Azizi tidak terkejut dengan pengumuman kekosongan kerusi yang disandangnya, bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan mahu berbincang dengan peguamnya untuk membawa kes itu ke mahkamah.
Encik Mohd Azizi, yang juga penyandang kerusi Parlimen Gua Musang, Kelantan, didapati telah melanggar disiplin dan perlembagaan Bersatu apabila beliau mengisytihar sokongannya buat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau, yang bertanding atas tiket Parti Islam SeMalaysia (PAS), memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum pada November 2022, manakala kerusi DUN Nenggiri dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri pada Ogos 2023.
Bagaimanapun, kedudukan Encik Mohd Azizi dan lima yang lain sebagai Ahli Parlimen belum terungkai hingga Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, membuat keputusan mengenainya.
Sementara itu, pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin, menyifatkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Nenggiri itu membuktikan pindaan perlembagaan dibuat Bersatu mengikut kehendak undang-undang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg