KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat (Parlimen), Tan Sri Johari Abdul, menjelaskan beliau mempunyai tempoh selama 21 hari untuk mengkaji dan membuat keputusan mengenai isu kerusi enam Ahli Parlimen (AP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sudah diputuskan terhenti keahlian parti mereka serta-merta.
Tan Sri Johari berkata beliau mendapat surat maklum daripada Ketua Whip, Datuk Seri Ronald Kiandee (Perikatan Nasional-Beluran) berkenaan perkara tersebut dan akan melakukan kajian dalam tempoh 21 hari sebelum keputusan dibuat.
“Saya memang sudah terima surat dari Beluran (Datuk Ronald) pada 21 Jun lalu. Jadi saya ada tempoh 21 hari untuk membuat sebarang keputusan. Saya akan umumkan nanti,” jelasnya, lapor Kosmo!.
Dewan Rakyat yang mula bersidang hari pertama pada 24 Jun menyaksikan kedudukan kerusi bagi enam AP Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih kekal di blok pembangkang.
Pada 24 Jun lalu, Datuk Ronald yang juga Naib Presiden Bersatu mengemukakan notis kepada Tan Sri Johari meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.
Ia susulan keahlian mereka digugurkan serta merta kerana gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Surat arahan itu dikeluarkan Bersatu kepada semua wakil rakyatnya sebelum ini untuk mereka menzahirkan pendirian berkait kesetiaan terhadap parti, susulan pindaan ke atas Fasal 10 dalam Perlembagaan Bersatu yang sudah diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 1 Jun berkata seramai 25 AP dan 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu sudah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti itu.
Namun, enam AP iaitu mereka yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Datuk Anwar tidak mengemukakan sebarang maklum balas seperti diarahkan Bersatu.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (AP Bukit Gantang); Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (AP Labuan); Encik Zahari Kechik (AP Jeli); Encik Mohd Azizi Abu Naim (AP Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (AP Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (AP Tanjong Karang).
Terdahulu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, pada 19 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri yang diwakili Encik Azizi dari Bersatu kosong luar jangka, sekali gus menyaksikan pilihan raya kecil perlu diadakan untuk mengisi kekosongan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg