Topik diikuti
Pergi ke BHkuPilihan Raya Negeri Johor: BM perlu ketengah calon muda
Pilihan Raya Negeri Johor: BM perlu ketengah calon muda
Pilihan Raya Negeri Johor: BM perlu ketengah calon muda
KOTA TINGGI: Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, menyarankan agar Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon muda dan wajah segar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, terutama di kawasan yang didominasi oleh pengundi belia.
Menurut beliau, langkah ini bukan sekadar menyuntik dinamisme kepada BN, malah menggilap potensi generasi baharu sebagai pelapis kepimpinan yang berwibawa di persada Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita perlu menerima hakikat ramai orang muda yang menjadi pengundi. Di kawasan saya pun (Pengerang), dalam 40 peratus adalah pengundi muda.
“Harapan saya, ia boleh diberikan penekanan oleh BN untuk PRN Johor,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani di Kampung Tanjung Serindit, Kota Tinggi, Johor, pada 2 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) bagaimanapun berkata, keputusan muktamad mengenai pemilihan calon adalah bawah penilaian penuh Biro Politik dan BN negeri.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Pengerang itu turut berharap dua penyandang kerusi DUN bawah parlimennya, iaitu Encik Aznan Tamin (Tanjung Surat) dan Cik Fauziah Misri (Penawar), dikekalkan sebagai calon pada PRN kali ini.
Selain itu, beliau berharap proses pilihan raya kali ini berlangsung dengan semangat demokrasi tanpa sebarang kekasaran atau masalah tidak diingini.
Mengulas lanjut mengenai pembubaran DUN Johor, Datuk Azalina berkata, kerajaan negeri bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mempunyai hak untuk membubarkan DUN atas perkenan Istana Johor.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat menyusuli sokongan positif rakyat Johor yang berterusan terhadap kepimpinan kerajaan negeri bawah BN.
“Mungkin dengan apa yang berlaku (seperti) Sambutan Ulang Tahun Umno Ke-80 di Istana Besar Johor dan kemenangan Johor Darul Ta’zim (juara Liga Super) ke-12, saya tengok banyak juga sokongan positif daripada rakyat Johor kepada kepimpinan kerajaan negeri.
“Mungkin dari segi ini (faktor pembubaran DUN),” katanya.
Datuk Onn Hafiz mengumumkan pembubaran DUN Johor, berkuat kuasa 1 Jun, selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Sebelum membubarkan DUN Johor, pada 16 Mei lalu Datuk Onn Hafiz mengumumkan BN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN, yang sekali gus bermaksud BN akan turut bertanding menentang calon dari Pakatan Harapan (PH), yang ketika ini bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
