ISKANDAR PUTERI: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan Johor bukan tempat untuk mana-mana pihak dijadikan sebagai medan eksperimen politik atau platform menumpang pengaruh semata-mata.

Beliau berkata rakyat Johor sudah melalui pelbagai episod politik dan mampu menilai parti yang benar-benar tekal berkhidmat, berbanding pihak yang hanya tampil dengan retorik serta janji besar.

Menurut beliau, suatu ketika dahulu terdapat parti yang mendakwa Umno dan BN sudah tidak lagi relevan di Johor, malah meramalkan pengaruh parti itu akan lenyap di negeri berkenaan.

“Kalau kita masih ingat lagi, ada parti jalanan pernah datang dengan janji besar dan cerita besar.

“Mereka melaungkan BN sudah tidak relevan. Mereka kata Umno akan mati di Johor.

“Namun hari ini, pihak yang mahu menggantikan Umno kini bergelut mencari arah.

“Manakala mereka yang bercita-cita menjadikan Johor sebagai tapak kuasa politik pula sedang sibuk mempertahankan sisa pengaruh masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Tertutup Kompleks Educity, di sini, pada 7 Jun.

Datuk Ahmad Zahid, yang juga Presiden Umno, berkata keadaan politik semasa membuktikan kekuatan sesebuah parti tidak boleh dibina atas sentimen kemarahan atau dendam politik semata-mata.

“Johor bukan tempat mencuba nasib. Johor bukan tempat menumpang pengaruh. Johor bukan medan eksperimen politik dendam.

“Parti yang lahir daripada pengkhianatan jangan bercakap soal prinsip,” tegas beliau, lapor MalaysiaGazette.

Dalam masa sama, Datuk Ahmad Zahid mengingatkan seluruh jentera dan anggota BN supaya tidak terlalu selesa dengan kelemahan lawan, sebaliknya terus memperkukuhkan sokongan rakyat melalui perkhidmatan yang berkesan.

“Kita tidak kuat kerana lawan lemah. Kita kuat kerana kita bekerja untuk rakyat. Kita kuat kerana kita berkhidmat. Kita kuat kerana kita mendengar suara rakyat,” katanya.

Datuk Ahmad Zahid berkata keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibuat bagi mengembalikan kuasa memilih kepada rakyat dan bukannya kerana kepentingan politik.

Menurut beliau, rakyat Johor berhak menentukan kerajaan yang mereka mahukan serta menilai prestasi pentadbiran semasa.

“Ada pihak sebelah sana mempersoalkan langkah Menteri Besar Johor membubarkan DUN. Ada yang berkata BN mahu bermain sandiwara politik.

“Tetapi hakikatnya, hari ini, esok atau tahun hadapan sekalipun, pembubaran tetap akan berlaku, malah, selang beberapa hari sahaja selepas itu, Negeri Sembilan juga dibubarkan dan ia bukan dilakukan oleh BN.

“Kita memilih untuk mengembalikan mandat kepada rakyat, kerana bangsa Johor adalah hakim tertinggi dalam demokrasi,” katanya. sambil memaklumkan bahawa BN memerlukan mandat yang jelas dan kukuh bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan.

“BN sekali lagi memohon mandat yang jelas, kukuh dan mutlak untuk memastikan pembangunan Johor berjalan lancar.

“Mandat supaya pelaburan terus masuk dengan yakin. Mandat supaya Bantuan Kasih Johor sampai tanpa gangguan.

“Mandat supaya peluang pekerjaan anak muda Johor terus berkembang,” katanya.