Topik diikuti
Pergi ke BHkuPKR Johor nafi parti rapuh susulan gelombang keluar ahli
PKR Johor nafi parti rapuh susulan gelombang keluar ahli
PKR Johor nafi parti rapuh susulan gelombang keluar ahli
JOHOR BAHRU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menegaskan parti itu kekal stabil dan tidak terjejas walaupun beberapa bekas pimpinan serta anggota mengambil keputusan meninggalkan parti untuk menyertai haluan politik baru.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata parti itu menghormati hak setiap individu menentukan pendirian politik masing-masing, namun tindakan meninggalkan perjuangan tidak seharusnya disertai tuduhan melulu atau kenyataan yang mengelirukan rakyat.
Menurut beliau, PKR sebagai sebuah parti demokratik sememangnya tidak terlepas daripada perbezaan pandangan, persaingan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli.
“Namun kematangan politik menuntut agar sebarang rasa tidak puas hati diurus melalui saluran yang betul, bukannya dengan memilih pentas media untuk melemparkan persepsi yang boleh mengelirukan anggota dan rakyat,” katanya dalam kenyataan media pada 24 Mei.
Datuk Zaliha berkata adalah tidak adil untuk menggambarkan keseluruhan parti berada dalam keadaan rapuh hanya kerana segelintir individu memilih membawa haluan politik berbeza.
Menurut beliau, PKR Johor ketika ini masih bergerak dengan struktur kepimpinan yang kukuh, jentera aktif dan anggota akar umbi yang terus setia kepada perjuangan reformasi.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya ribuan anggota akan keluar meninggalkan parti kerana menurutnya perkara itu tidak seharusnya dijadikan propaganda politik semata-mata untuk membentuk persepsi tertentu.
“PKR tidak berpolitik dengan angka yang dicanang untuk mencipta persepsi, sebaliknya berpegang kepada fakta, kerja lapangan dan kekuatan sebenar di akar umbi,” katanya.
Menurut beliau, rakyat juga cukup matang untuk menilai sama ada keputusan meninggalkan parti benar-benar dibuat atas dasar prinsip perjuangan atau sekadar reaksi terhadap kekecewaan peribadi selepas proses demokrasi parti berlangsung.
Datuk Zaliha berkata PKR Johor tidak akan terheret dalam politik dendam atau polemik tidak membina, sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh organisasi dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik akan datang.
Jelasnya, perjuangan PKR tidak dibina atas kekuatan individu tertentu, sebaliknya berasaskan prinsip perjuangan yang terus dipertahankan parti sejak sekian lama.
“PKR telah melalui cabaran yang jauh lebih besar dan akan terus berdiri kerana kekuatannya terletak pada prinsip, bukan personaliti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan seluruh anggota PKR Johor supaya terus bertenang, memperkukuh gerak kerja parti dan tidak terperangkap dengan permainan persepsi politik.
“Masa depan perjuangan ini ditentukan oleh mereka yang kekal bekerja, bukan mereka yang memilih untuk meninggalkan medan,” katanya.
Tardahulu, Ketua Penyelaras Jawatankuasa Sementara Parti Bersama Malaysia (Bersama) Johor, Encik Abdul Hamid Ali, berkata Johor mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama menubuhkan jawatankuasa Bersama susulan penyertaan bekas pimpinan PKR negeri itu.
Penubuhan jawatankuasa sementara itu dibuat selepas mereka mengambil keputusan meninggalkan PKR kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan serta proses pemilihan parti sebelum ini.
