Topik diikuti
Pergi ke BHkuPlus sasar sediakan 350 pengecas EV sepanjang lebuh raya M’sia jelang 2028
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal memiliki 350 titik pengecas atau charging point kenderaan elektrik (EV) di sepanjang rangkaian lebuh raya Plus Malaysia Berhad (Plus) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menjelang 2028.
Pengarah Urusan Plus, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, berkata komitmen memperkukuh ekosistem mobiliti rendah karbon itu adalah kesinambungan daripada Pelan Pembangunan Fasa I.
“Melalui fasa awal berkenaan, sebanyak 118 titik pengecasan pantas arus terus (DC) sudah beroperasi di lokasi strategik, termasuk kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan stesen minyak terpilih.
“Inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Fasa II pula adalah instrumen utama syarikat dalam menyokong Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (2021-2030) serta Pelan Hala Tuju Hijau PLUS 2.0.
“Kami bukan sekadar menyediakan kemudahan, tetapi juga pemangkin dalam mengurangkan jejak karbon dan pelepasan gas rumah hijau (GHG) bagi sektor pengangkutan darat,” katanya.
Mengenai persiapan menghadapi lonjakan pengguna EV pada musim perayaan dan cuti panjang, Nik Airina berkata Plus mempergiat pembangunan hab pengecasan berskala besar di R&R Seremban (Arah Selatan).
“Projek hasil usaha sama dengan Yinson Green Tech (YGT) itu akan menempatkan kira-kira 20 titik pengecasan DC, menjadikannya hab pengecasan EV bersepadu pertama di lebuh raya Malaysia dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.
“Bagi menampung permintaan 2026, Plus merancang menambah antara 20 hingga 30 titik pengecasan di kawasan strategik aliran trafik tinggi, terutama koridor utara-selatan yang dikenal pasti berpotensi mengalami kekangan kapasiti ketika waktu puncak,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Nik Airina berkata bagi pelan kontingensi mengurangkan kesesakan di R&R utama, Plus akan memperkenalkan projek perintis dikenali sebagai Charge and Chill (Cas dan Santai) di beberapa plaza tol terpilih.
“Inisiatif itu menggabungkan infrastruktur pengecasan EV dengan kemudahan kedai makanan dan minuman bagi memberikan pengalaman berhenti rehat yang lebih selesa kepada pengguna.
“Bagi mengelak masa menunggu yang lama, pengguna EV disaran merancang perjalanan lebih awal dengan menyemak status ketersediaan pengecas secara masa nyata melalui aplikasi Plus.
“Pengguna juga digalakkan memanfaatkan aplikasi rasmi oleh pengendali titik pengecas berkaitan seperti JomCharge, Gentari Go dan ChargEV bagi memantau sesi pengecasan dengan lebih mudah serta membantu mengurangkan kesesakan di lokasi tertentu,” katanya.
Bagi menyokong pemanduan jarak jauh, katanya semua kemudahan di lebuh raya Plus dan LPT2 menggunakan Titik Pengecas Pantas Arus Terus (DCFC) dengan kuasa output antara 47 kilowatt (kW) hingga 200kW.
“Sistem ini menggunakan penyambung CCS2 universal yang serasi dengan majoriti model EV di pasaran, membolehkan kenderaan mengecas bateri sehingga 80 peratus dalam tempoh pantas sekitar 15 hingga 30 minit,” katanya.
