Topik diikuti
Pergi ke BHkuHab pengecasan pantas awam terbesar S’pura bagi kenderaan komersial elektrik dibuka di Jurong
Hab pengecasan pantas awam terbesar S’pura bagi kenderaan komersial elektrik dibuka di Jurong
Hab pengecasan pantas awam terbesar S’pura bagi kenderaan komersial elektrik dibuka di Jurong
Pemandu bas dan trak elektrik kini mempunyai akses kepada hab pengecasan pantas awam terbesar Singapura untuk kenderaan elektrik (EV) komersial, yang dibuka di Jurong pada 13 Julai.
Terletak di 2E Jalan Papan, yang menempatkan Pusat Pemeriksaan JIC, hab tersebut mempunyai 46 tempat pengecasan, enam di tingkat satu dan 40 di tingkat lima. Kemudahan itu juga terbuka kepada pemandu kereta dan teksi elektrik.
Dikendalikan oleh Volt Singapore – cabang pengecasan EV milik Keppel – pengecas itu boleh menambah jarak perjalanan sehingga 300 kilometer dalam masa 10 minit, bergantung pada keupayaan kenderaan tersebut.
Bagi bas elektrik, yang mempunyai kapasiti bateri lebih besar berbanding kereta elektrik biasa, pengecasan daripada 20 peratus kepada 80 peratus mengambil masa kurang daripada dua jam, berbanding empat hingga enam jam menggunakan kebanyakan pengecas komersial.
Tempoh masa untuk mengecas bateri daripada 20 peratus kepada 80 peratus merupakan penanda aras yang biasa digunakan, memandangkan pengecasan biasanya paling pantas dalam julat tersebut.
Kosnya ialah 59.8 sen setiap kilowatt-jam (kWj) untuk menggunakan pengecas itu.
Sebanyak 40 tempat pengecasan di tingkat lima menggunakan kuasa daripada kabinet pengecasan 360 kilowatt (kW), yang setiap satunya dapat mengecas sehingga enam EV secara serentak.
Kelajuan pengecasan sebenar bergantung pada faktor seperti tahap cas kenderaan dan bilangan EV yang mengecas pada masa yang sama.
Walaupun hab itu tersedia untuk semua jenis EV, ia amat sesuai untuk kenderaan komersial yang lebih besar dengan had ketinggian 4.2 meter serta ruang yang mencukupi untuk mereka bergerak masuk dan keluar dengan mudah daripada ruang letak.
Menjelang suku terakhir 2026, akan ada kawasan khas untuk pemandu EV berehat sementara kenderaan mereka sedang dicas.
Bercakap dengan The Straits Times (ST) pada majlis pelancaran itu, pengarah eksekutif Volt, Encik Lim Yong Wei, berkata pengendali itu akan meningkatkan bilangan ruang pengecasan kepada 70 apabila kadar penggunaan berada antara 50 peratus dengan 80 peratus.
Dalam satu hantaran Facebook, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Cik Sun Xueling, yang menghadiri majlis pelancaran itu, berkata hab tersebut menyokong elektrifikasi kenderaan berat Singapura, meningkatkan bilangan stesen pengecasan untuk kenderaan sebegini sebanyak 30 peratus.
Pengguna utama hab itu ialah bas elektrik swasta yang dikendalikan oleh ComfortDelGro Bus (CDG Bus), yang melantik Volt sebagai rakan pengecasannya.
Bas elektrik tersebut digunakan oleh pengendali pengangkutan itu untuk perkhidmatan bas ulang-alik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Nasional Singapura (NUS), yang terletak berhampiran.
Pengecas itu juga boleh digunakan oleh EV yang menjalani pemeriksaan wajib di Pusat Pemeriksaan JIC.
Volt sedang berbincang dengan syarikat-syarikat yang mengendalikan EV untuk menggunakan hab itu.
Syarikat itu mempunyai hak untuk mengendalikan hab tersebut sehingga 15 tahun.
Ini berikutan satu tender pada 2023 untuk mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan hab pengecasan itu di tapak milik Setsco Services, syarikat ujian dan pemeriksaan milik kumpulan pengangkutan ComfortDelGro.
