Topik diikuti
Pergi ke BHkuPN adakan mesyuarat tergempar jelang PRN Johor, N Sembilan
PN adakan mesyuarat tergempar jelang PRN Johor, N Sembilan
Keanggotaan perikatan salah satu agenda utama
PN adakan mesyuarat tergempar jelang PRN Johor, N Sembilan
PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) bakal mengadakan satu mesyuarat tergempar pada 22 Jun bagi membincangkan hala tuju pakatan pembangkang berkenaan.
Ini termasuk penggunaan logo bagi pilihan raya negeri (PRN) serta keanggotaan parti dalam gabungan tersebut.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menerusi satu notis bertarikh 18 Jun yang dilihat oleh akhbar tempatan The Star, menyatakan bahawa mesyuarat majlis tertinggi itu akan diadakan pada 8.30 malam di ibu pejabat Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Kuala Lumpur.
Notis tersebut turut diedarkan kepada Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dan empat Timbalan Pengerusi PN – Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Encik Punithan Paramsiven dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Keanggotaan perikatan tersebut dinyatakan sebagai salah satu agenda utama dalam mesyuarat berkenaan.
Ketika dihubungi, Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan tarikh mesyuarat berkenaan.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Encik Punithan, pula berkata mesyuarat itu akan membincangkan hala tuju masa depan gabungan berkenaan.
“Ya, mesyuarat Perikatan akan membincangkan mengenai pilihan raya Johor dan Negeri Sembilan, logo Perikatan serta hala tuju masa depan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri berkata mesyuarat itu juga akan membincangkan kedudukan Bersatu dalam gabungan berkenaan.
“Antara agenda yang akan dibincangkan adalah mengenai keanggotaan dalam Perikatan. Bagaimanapun, ia terpulang kepada Bersatu.
“Setakat ini, keanggotaan Perikatan kekal seperti sedia ada,” katanya, seperti yang dilaporkan selepas menghadiri satu mesyuarat di Temerloh, Pahang, pada 21 Jun.
Antara isu yang dijangka akan dibentangkan dalam mesyuarat tergempar itu adalah mengenai penggunaan nama gabungan itu, lapor Sinar Harian.
Sebelum ini, PN menegaskan sebarang kegiatan atau mesyuarat yang menggunakan nama gabungan itu tidak boleh diadakan tanpa izin pengerusinya.
Menurut Datuk Seri Takiyuddin, perkara tersebut ditetapkan bagi memastikan segala kegiatan, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
Mesyuarat tergempar itu diadakan di tengah-tengah pergelutan antara PAS dengan Bersatu melibatkan isu kepimpinan gabungan berkenaan.
Pilihan raya Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai, manakala pilihan raya Negeri Sembilan pula bakal diadakan pada 1 Ogos.
