Topik diikuti
Pergi ke BHkuPN akan ambil tindakan terhadap Bersatu
PN akan ambil tindakan terhadap Bersatu
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan melaksanakan satu tindakan tata tertib terhadap satu komponennya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selepas parti itu didakwa melakukan tindakan bertentangan dengan kepentingan gabungan politik berkenaan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada malam 25 Oktober, mengikut Fasal 15 Perlembagaan PN.
“Majlis Tertinggi PN mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tata tertib terhadap mana-mana parti anggota, anggota, parti bergabung dan ahli bersekutu dengan memberikan amaran, menggantung atau pemecatan terhadap pihak terbabit yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan PN.
“Pihak PN akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam prosiding tata tertib dan akan menyerahkan pertuduhan yang akan dibuat kepada pihak parti anggota ini (Bersatu),” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pada 25 Oktober, lapor portal berita Malaysiakini.
Bersatu tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan walaupun jemputan telah diberikan kepada pimpinan parti itu.
Datuk Takiyuddin berkata Bersatu akan diberikan tempoh masa yang mencukupi untuk memberikan penjelasan terhadap pertuduhan yang akan dikemukakan, sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Sebelum ini Datuk Takiyuddin dilaporkan berkata PN akan menjemput Bersatu untuk menghadiri Mesyuarat MT PN, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggantung keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), yang membatalkan pendaftaran gabungan itu pada 20 Oktober lalu.
Justeru, mahkamah memutuskan status PN dianggap masih kekal sehingga mahkamah membuat keputusan penuh kelak, sekali gus membolehkan PN menggunakan logo sendiri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 14 November depan.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mempertikai tindakan Datuk Takiyuddin memanggil mesyuarat tergempar MT PN pada malam 25 Oktober, ketika kesahihan gabungan pembangkang itu masih dalam pertikaian.
Beliau berkata meskipun mahkamah menggantung keputusan RoS yang membatalkan pendaftaran gabungan itu pada 20 Oktober lalu, status (pembatalan PN) dianggap masih kekal dalam penghakiman yang telah dibuat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor itu juga menyorot rayuan yang telah difailkan oleh pihak Peguam Kanan Persekutuan pada 23 Oktober bagi pihak RoS dan Menteri Dalam Negeri bagi merayu keputusan dibuat hakim Mahkamah Tinggi itu.
“Persoalan yang berbangkit ialah mengapa Takiyuddin mengeluarkan surat bertarikh 23 Oktober untuk memanggil mesyuarat tergempar MT PN apabila beliau sedia maklum bahawa pada hari sama, satu notis rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan seperti yang telah dijelaskan di atas,” katanya.
Pada 22 Oktober lalu, Hakim Datuk Azizan Md Arshad memutuskan PN boleh meneruskan aktiviti politik sementara menunggu pelupusan semakan kehakiman kes berkenaan.
Menerusi keputusan itu, RoS tidak boleh menguatkuasakan penggantungan aktiviti atau pembatalan pendaftaran PN sehingga semakan kehakiman berkenaan diputuskan sepenuhnya.