KLUANG: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Encik Abdul Mutalip Abd Rahim, berkata beliau bersangka baik dengan tindakan Parti Islam SeMalaysia (PAS), yang mengarahkan jentera pilihan rayanya tidak membantu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Penyandang kerusi Layang-Layang itu yang minggu lalu mengumumkan keluar daripada Umno untuk menyertai Bersatu, turut menyifatkan walaupun segala perancangan telah dilakukan oleh PAS, sebaik-baik perancangan adalah daripada Allah.

Sebelum ini, PAS dilapor telah mengarahkan semua jentera parti itu tidak membantu operasi kempen di DUN yang ditandingi Bersatu dalam PRN Johor.

“Dalam keadaan macam ini, buatlah perancangan macam mana pun, tetapi sebaik-baik yang merancang adalah perancangan Allah.

“Buatlah jadual, tapi kalau Allah kata hari ini kau tak jadi pergi sini, kau kena ke sini, jadi perancangan Allah itu lebih tepat,” kata Encik Abdul Mutalip yang ditemui media ketika berkempen di Renggam, pada 30 Jun.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor dari 2013 hingga 2018 itu turut menggesa agar PAS tidak “membingungkan” orang ramai dengan pelbagai arahan yang dikeluarkan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Permudahkan, jangan susahkan, jangan buat orang bingung. Biar orang buat pilihan untuk memudahkan orang. Macam saya hari ini bertanding, biar orang buat pilihan,” katanya.

Mengenai kempennya, Encik Abdul Mutalip berkata antara yang mahu dilaksanakan sekiranya beliau terpilih sekali lagi sebagai wakil rakyat adalah dengan meningkatkan jumlah tanaman komoditi kelapa sawit.

Beliau juga mahu “memperbetulkan semula” sektor komoditi kelapa sawit di DUN Layang-Layang dari segi pendekatan agar tidak ada tanah terbiar, sekali gus membolehkan pekebun kecil memperoleh hasil lumayan.

“Kelapa sawit kita sekarang sudah jatuh nombor dua selepas Indonesia. Saya dapat maklumat daripada pihak Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), ramai yang tanam sawit terdiri daripada pekebun kecil yang modalnya kecil.

“Nak tanam semula sudah tidak ada (modal), umur sudah meningkat (dan) anak-anak tak minat. Itu yang banyak kebun terbiar sedangkan sawit, kalau kita tengok harganya hari ini, mantap,” katanya.