PAS dakwa Muhyiddin sudah setuju tanpa syarat PAS terajui PN
PAS dakwa Muhyiddin sudah setuju tanpa syarat PAS terajui PN
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mendakwa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersetuju tanpa syarat untuk parti itu mengambil alih jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang dikosongkannya.
Tuan Ibrahim berkata perkara itu sudah dipersetujui dalam siri perbincangan kepimpinan tertinggi parti bersama Tan Sri Muhyiddin dan akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN (MTPN) yang dijangka akhir Februari ini.
“Tan Sri Muhyiddin sebelum ini memberi respons positif tanpa syarat. Kita mahu pengerusi diberi mandat penuh untuk menguruskan PN, manakala perkara berbangkit boleh dirujuk kepada Majlis Presiden,” katanya, lapor portal berita Free Malaysia Today.
Menurut Ahli Parlimen (AP) Kubang Kerian (Kelantan) itu, PAS belum mengumumkan calon pengerusi baru sebagai tanda hormat kepada Tan Sri Muhyiddin selagi proses peletakan jawatan terbabit belum muktamad secara rasmi iaitu disahkan MTPN.
“Sampai masa kita akan umumkan siapa calon PAS bagi menggalas jawatan itu nanti. Dalam perlembagaan PN tidak pernah menyatakan pengerusi wajib dilantik dalam kalangan presiden parti-parti komponen.
“Cuma kalau Bersatu kata kena (lantik) presiden juga, tak apalah. Kita akan ketuai dengan cara harmonilah berdasarkan persetujuan dan sokongan parti-parti yang ada,” katanya.
Jawatan pengerusi PN kosong sejak 1 Januari lalu selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin dan ia sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat MTPN yang dipanggil pada 29 Januari lalu.
Namun mesyuarat itu dibatalkan, sebaliknya Tan Sri Muhyiddin yang juga mantan Perdana Menteri mengundang ketua parti komponen utama gabungan PN iaitu PAS, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk pertemuan di kediamannya pada hari sama.
Bagaimanapun, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tidak hadir dalam pertemuan itu.
Sebelum pertemuan itu, tular satu surat yang didakwa dihantar Tan Sri Muhyiddin kepada presiden parti komponen PN antaranya memaklumkan mengenai persetujuan daripada PAS dan Bersatu untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN.
Tan Sri Muhyiddin sebaliknya dilaporkan berkata PAS dan Bersatu bersetuju dengan penubuhan Majlis Presiden diketuai Bersatu yang berfungsi sebagai badan pembuat keputusan tertinggi gabungan itu termasuk menetapkan dasar.
Manakala Majlis Eksekutif pula akan diketuai PAS untuk mengurus pentadbiran harian selaras dengan keputusan yang dibuat.
Bagaimanapun, Tan Sri Abdul Hadi menafikan bahawa parti itu bersetuju untuk jawatan pengerusi PN dimansuhkan sebagaimana yang didakwa Tan Sri Muhyiddin.

