Seorang pelajar Tingkatan Lima maut akibat dihempap pokok kelapa dalam kejadian ribut di Kelantan, manakala seorang lelaki warga emas melalui detik cemas apabila terperangkap di dalam rumah selepas pokok 50 tan berusia kira-kira 130 tahun, tumbang menghempap kediamannya.

Dalam kejadian di Bachok, Kelantan, Nik Mohd Haiqal Abdul Rahim, 17 tahun, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala, manakala pembonceng, Ahmad Iqbal Mukmin, 17 tahun, dipercayai parah pada bahagian tengkuk. 

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin, ketika mengesahkan kejadian itu berkata mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Bachok untuk rawatan, manakala mayat rakannya turut dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Insiden kira-kira 6 petang pada 2 Julai itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang menunggang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss di kawasan tali air di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung, sebelum ribut menyebabkan sebatang pokok kelapa setinggi 10 meter (m) tumbang lalu menghempap mereka.

Penghulu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Permatang Pasir, Encik Nor Azman Mohamad, 52 tahun, berkata insiden dipercayai berlaku ketika ribut kuat melanda kawasan terbabit selama kira-kira lima minit.

“Ini adalah kali pertama berlaku kejadian pokok tumbang dan menyebabkan kematian di sini,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam kejadian berasingan di Jalan Batu Gantung, Georgetown, Pulau Pinang pula, mangsa berusia 83 tahun terperangkap dalam rumah selepas pokok warisan berusia 130 tahun itu tumbang mengenai rumahnya dan diselamatkan pasukan bomba. Beliau tidak mengalami kecederaan. 

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Encik Mohd Zaini Zainudin, berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.48 malam dan sebaik tiba di tempat kejadian, anggota mendapati kediaman pertama tanpa penghuni mengalami kerosakan pada pintu pagar dan sebahagian bumbung. 

“Manakala rumah kedua pula mengalami kerosakan pada pagar dan bumbung tempat letak kereta, selain satu daripada tiga kenderaan di situ turut mengalami kerosakan.

“Seorang lelaki warga emas terperangkap dalam rumah kedua kerana pokok yang tumbang menghalang laluan keluar, sebelum pasukan keselematan membantu mengeluarkan mangsa,” katanya.

Operasi membabitkan 19 anggota termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Mengulas lanjut, Encik Mohd Zaini berkata pasukan penyelamat membantu memotong dahan pokok tumbang akibat angin kencang itu menggunakan peralatan khas dan mengalihkannya dengan bantuan kren.

“Difahamkan, pokok tumbang ini dikategorikan sebagai pokok warisan dengan anggaran usia melebihi 130 tahun dan berat lebih 50 tan,” katanya.