KUALA LUMPUR: Polis memburu dua lelaki bermotosikal yang dipercayai melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pelanggan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, pada 13 Jun.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Kami sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengumpul maklumat daripada saksi bagi mengenal pasti identiti suspek.
“Setakat ini, kami belum dapat pastikan sama ada mereka warga tempatan atau warga asing,” katanya ketika dihubungi Berita Harian Malaysia pada 14 Jun.
Beliau berkata polis juga akan merakam keterangan mangsa yang cedera bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields atau balai polis berhampiran,” katanya.
Dalam kejadian jam 10.50 malam pada 13 Jun, seramai tiga lelaki tempatan berusia antara 30 dengan 50 tahun ditembak ketika sedang makan bersama beberapa rakan di sebuah restoran di lokasi berkenaan.
Salah seorang daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi cedera dan kini menerima rawatan di hospital.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg