Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes 2 kenderaan rempuh sekumpulan individu di KL bermotif jenayah

Jan 31, 2025 | 1:05 PM
Kejadian dua kenderaan merempuh sekumpulan individu berhampiran sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai cubaan bunuh.
Kejadian dua kenderaan merempuh sekumpulan individu berhampiran sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai cubaan bunuh. - Foto tangkap layar tular NSTP

KUALA LUMPUR: Insiden dua kenderaan merempuh sekumpulan individu berhampiran pusat hiburan dekat Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, pada 29 Januari, disifatkan bukan kemalangan biasa, sebaliknya jelas bermotifkan jenayah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang mengulas mengenai insiden yang mengejutkan orang awam itu menjelaskan, siasatan lanjut sedang giat dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Insiden ini adalah serius. Kita lihat dalam video (yang tular), itu bukan kemalangan biasa. Nampak macam dia (suspek) ramp (tekan minyak) untuk tujuan bunuh.

“Biar pihak polis lakukan siasatan... saya turut difahamkan tangkapan sudah dibuat. Pihak polis juga akan buka kertas siasatan segera. Mereka sudah kenal pasti nombor pendaftaran kereta (suspek) dan sebagainya,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Saifuddin berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam satu acara yang disiarkan secara langsung di TV Al Hijrah Malaysia pada 30 Januari malam.

Media Malaysia melaporkan dua lelaki cedera selepas dirempuh dua kenderaan jenis Toyota Vios dan pacuan empat roda Toyota Hilux pada 29 Januari.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Ku Mashariman Ku Mahmood, dalam satu kenyataan pada 30 Januari berkata kes terbabit kini siasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob, dalam satu kenyataan pada 30 Januari turut memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham di antara kumpulan suspek dengan mangsa ketika berhibur.

Katanya empat lelaki warga tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Ketika ditanya sama ada insiden terbabit boleh ‘menggugat’ kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara aman, Datuk Saifuddin menjelaskan komitmen semua pihak penting bagi memastikan keselamatan setiap individu di negara itu terus dipertahankan.

“... (Pandangan saya) negara kita kekal aman dan menjadi tanggungjawab untuk kita pertahankannya dari sudut kestabilan politik, selain itu memastikan tak berlaku ketegangan dari segi kaum dan agama.

“Ini tanggungjawab bersama. Kerajaan ada peranan, rakyat juga ada peranan untuk kekalkan keamanan yang kita kecapi,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg