Polis Johor nafi wujud makmal dadah berskala besar di Felda
Polis Johor nafi wujud makmal dadah berskala besar di Felda
KOTA TINGGI (Johor): Polis Johor menafikan kewujudan makmal mini pemprosesan dadah berskala besar di kawasan Felda atau luar bandar negeri itu, sekali gus menepis anggapan lokasi tersebut menjadi sarang operasi makmal dadah terancang.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata dalam konteks Polis Diraja Malaysia (PDRM),‘mini lab’ merujuk kepada makmal dadah yang tersusun, beroperasi secara terancang, dan berskala besar. Ia bukan sekadar aktiviti pembungkusan kecil-kecilan di rumah persendirian.
Beliau berkata terdapat kes penagih yang mengambil kesempatan untuk memproses dan menjual dadah dalam peket kecil, hanya untuk kegunaan sendiri dan menampung ketagihan.
“Ada dalam kalangan mereka-mereka ini di kawasan Felda yang mengambil kesempatan ini adalah daripada golongan penagih sendiri dan menjualnya dalam kuantiti kecil untuk menampung balik keperluan dadah mereka sendiri.
“Itu kita tidak bolehlah kata itu sebagai satu mini lab,” katanya lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual di Bernama Mobile Studio mengenai topik ‘Jerat Halusinasi: Antara Penjara dan Jalan Pemulihan’ di Felda Bukit Waha sempena Program FELDA: Desaku Mendunia ‘Generasi Sihat Komuniti Hebat’ anjuran bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)
Beliau berkata kebanyakan penagih di kawasan luar bandar seperti Felda dikesan menggunakan dadah konvensional seperti ganja atau heroin manakala penggunaan dadah sintetik seperti syabu dan methamphetamine pula banyak tertumpu di kawasan bandar termasuk pusat hiburan.
“Di Felda, ada juga mereka (penagih) menggunakan dadah sintetik seperti methamphetamine dan syabu, tetapi ia masih terkawal dan kurang penggunaannya,” katanya.
Datuk Ab Rahaman bagaimanapun mengesahkan kewujudan makmal mini di kawasan bandar, yang memproses dadah dalam skala besar membabitkan sindiket terancang yang menggunakan rumah dan apartmen sewaan sebagai lokasi memproses serta mengedar bahan terlarang itu.
“Sindiket itu bukan sahaja menyasarkan pasaran domestik, malah pasaran antarabangsa termasuk negara jiran selain turut dikesan memproses dadah di makmal, sama ada dalam skala kecil atau besar, katanya.
Datuk Ab Rahaman berkata pihaknya serius membanteras kegiatan itu dengan menumpaskan ratusan sindiket dadah tahun lepas, apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor merekodkan rampasan dadah mencecah RM176.33 juta ($55.92 juta) pada tahun 2025.
Rampasan itu meliputi 544.31 kilogram (kg) syabu, 147.78 kg heroin, 169.39 kg ganja dan 1,464.72 kg serbuk ecstasy.

