Seorang pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) berpangkat sarjan telah dijatuhi hukuman penjara setahun enam bulan pada 23 Disember setelah dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan memberikan keterangan palsu kepada Hakim Daerah Salina Ishak semasa perbicaraan rakan kerjanya, Vengedesh Raj Nainar Nagarajan, pada 2021.
Menurut laporan The Straits Times (ST), pesalah iaitu Muhammad Heykal Rahman, 36 tahun, nafi melihat Vengedesh menyerang seorang pesalah dadah, Sivabalan Kanniappan, ketika perbicaraan terhadap Vengedesh.
Bagaimanapun, mahkamah mendengar bahawa apabila Sivabalan, seorang warga Malaysia, merayu kepada Heykal untuk bantu menghentikan serangan itu, Heykal memberitahunya: “Saya tidak boleh berbuat apa-apa. Jika dia (pukul) kamu, maka dia (pukul) kamu.”
Satu lagi pertuduhan memberi maklumat palsu kepada pegawai polis pada 2018 semasa siasatan ke atas serangan itu dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.
Heykal melakukan kesalahan itu untuk menutup kesalahan Vengedesh.
Dalam kenyataan yang dihantar kepada ST, CNB tidak menyebut sama ada Heykal masih seorang pegawai di biro itu.
Bagaimanapun, jurucakap CNB berkata ia telah menyiasat aduan terhadap Vengedesh dan merujuk kes itu kepada polis untuk siasatan jenayah.
Merujuk kepada Vengedesh sebagai “Raj”, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Joseph Gwee berkata: “Tindakan (Heykal) adalah serius dan menjejas proses kehakiman.”
Vengedesh dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada April 2022 selepas Hakim Salina menetapkan dia bersalah atas tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan secara sukarela untuk memeras pengakuan daripada Sivabalan.
Dia juga didenda $4,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan gangguan yang berasingan kerana menggunakan kata kesat terhadap seorang anggota polis.
Sivabalan disabit kesalahan berkenaan dadah dan dihukum penjara 15 tahun dengan 13 sebatan. DPP Gwee tidak memberikan butiran mengenai kesalahan ini.
Sivabalan memandu motosikal apabila dia diperiksa apabila memasuki Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands sekitar 3.40 pagi pada 2 Januari 2017.
Semasa pemeriksaan, satu bungkusan berwarna biru, disyaki mengandungi dadah terkawal, ditemui dalam beg baju hujan di dalam kotak belakang motosikalnya.
Dia diserahkan kepada pasukan CNB Woodlands dan seorang pegawai merekodkan kenyataan daripadanya.
Dalam kenyataan itu, Sivabalan menafikan pengetahuan mengenai bungkusan biru itu. Dia mendakwa telah meminjamkan motosikalnya kepada rakan sebiliknya, yang dikenali sebagai “Sivan”.
Sivabalan kemudiannya memberikan sampel air kencing. Vengedesh, yang ketika itu berpangkat koperal dengan CNB, tiba di pejabat CNB Woodlands pagi itu selepas dia dikerah untuk kes tersebut.
Apabila kedua-dua lelaki itu bertemu, Sivabalan menyedari Vengedesh berbau alkohol, mahkamah mendengar dalam prosiding sebelum ini.
Vengedesh, yang ingin mendapatkan “pengakuan cepat” daripada Sivabalan, membawa warga Malaysia itu ke tandas dan Heykal mengikuti mereka.
DPP Gwee berkata: “Antara 5.58 pagi dan 6.14 pagi di dalam tandas, Raj secara sukarela menyebabkan Sivabalan cedera dengan menendang, menumbuk dan menamparnya bagi tujuan memeras ugut... satu pengakuan di mana Sivabalan sedar tentang... bungkusan dadah.
“Akibat tindakan Raj, Sivabalan mengaku dia tahu tentang (dadah itu). Pada setiap masa, Heykal berada di dalam tandas apabila Raj melakukan serangan tersebut ke atas Sivabalan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg