Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Johor tahan sembilan individu edar dadah termasuk warga S’pura

Jul 4, 2025 | 3:39 PM
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar. - Foto Fail

JOHOR BAHRU: Taktik sindiket pengedaran dadah yang mengubahsuai bilik dalam apartmen yang disewa untuk dijadikan ‘pusat karaoke’ sebagai umpan untuk mengedar dadah, berjaya dihidu pihak berkuasa.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata hasil risikan sejak awal 2025, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket yang dianggotai sembilan individu itu pada Jun.

Beliau berkata pihaknya menjalankan tiga serbuan sekitar bandar raya itu antara 3.30 petang, 20 Jun hingga 6.30 pagi, 21 Jun, sebelum sembilan individu berkenaan ditahan dengan pelbagai jenis dadah dirampas.

“Serbuan pertama dibuat di sebuah apartmen berpagar dan berpengawal yang mana satu unit disewa sindiket dengan tiga suspek ditahan bersama sejumlah dadah, manakala serbuan kedua dibuat di sebuah lagi unit di aras sama, sebelum enam lagi suspek ditahan dengan dadah.

“Di dua unit rumah ini, masing-masing terdapat satu bilik yang diubah suai menjadi ‘pusat karaoke’. Mereka menarik pelanggan untuk datang berhibur di ‘pusat karaoke’ itu sebelum menjual dadah dan mengedarkan kepada pelanggan mereka.

“Susulan dua serbuan itu, kita menyerbu sebuah lagi apartmen dan merampas sejumlah dadah. Kita percaya sindiket ini aktif sejak Mac,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 4 Julai.

Beliau berkata semua suspek yang ditahan terdiri daripada empat lelaki tempatan yang mana seorang daripadanya dipercayai dalang sindiket berusia 52 tahun, seorang wanita tempatan, seorang lelaki warga Singapura, dua wanita warga Vietnam dan seorang wanita Laos yang semuanya berusia antara 21 hingga 64 tahun.

“Dadah yang dirampas adalah 10.04 kilogram (kg) serbuk ecstasy; 140 gram syabu; 61.5 gram ketamin; 20 biji pil erimin 5; 370 pil yaba, 190 biji pil ecstacy dan 33 mililiter cecair disyaki dadah yang semuanya dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta ($510,000).

“Semua dadah ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh 34,353 pengguna. Kemungkinan besar mereka ada pelanggan dari luar negara kerana ada suspek dari negara asing,” katanya lapor Harian Metro.

Polis turut merampas alatan memproses dan membungkus semula dadah dan menyita dua kereta, wang tunai RM1,500 dan pelbagai jenis barang kemas yang mana nilai rampasan dan sitaan lebih RM1.9 juta.

Hasil ujian saringan awal air kencing, semua suspek positif methamphetamine, manakala hasil semakan mendapati empat lelaki tempatan mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah.

“Suspek lelaki warga Singapura pula yang berusia 64 tahun mempunyai rekod ‘wanted’ di Singapura.

“Semua suspek kini ditahan reman sehingga esok (5 Julai) bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek warga asing turut disiasat mengikut Seksyen 6(3) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Pada masa sama, Datuk Kumar berkata trend terkini sindiket pengedaran dadah di negeri itu bergerak dalam kumpulan kecil antara empat hingga lima orang.

“Ini sindiket yang terbesar setakat ini membabitkan sembilan suspek dan kita berjaya tumpaskan sindiket ini dengan tangkapan semua sembilan ahli sindiket termasuk dalangnya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg