Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Johor tumpaskan sindiket jual beli dadah guna WeChat

Jul 2, 2025 | 6:00 PM
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar. - Foto Fail

JOHOR BAHRU: Menggunakan aplikasi WeChat untuk mencari pelanggan dan kemudian meletakkan dadah yang dibeli di tepi jalan, sebelum diambil sendiri pembeli dan segala pembayaran dibuat secara dalam talian.

Itu taktik satu sindiket memproses dan mengedar dadah yang aktif sejak Januari 2025 dan berjaya ditumpaskan polis pada Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata pihaknya melancarkan operasi khas dengan tiga serbuan sekitar bandar raya itu pada 19 Jun antara 12 tengah hari hingga 9 malam sebelum menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam.

Menurutnya, antara semua suspek yang berusia 29 hingga 46 tahun itu, seorang lelaki tempatan dipercayai merupakan dalang sindiket berkenaan.

“Dalam serbuan pertama yang dibuat di sebuah unit di pangsapuri yang dijadikan ‘homestay’ atau inap desa dan disewa seorang daripada suspek sejak Jun, kami menahan empat suspek dan merampas pelbagai jenis dadah.

“Di pangsapuri yang berpagar dan berpengawal ini, mereka jadikan tempat memproses, membungkus dan menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Susulan itu, kita menahan seorang lagi suspek lelaki di sebuah bilik yang disewa dalam sebuah rumah teres sebelum dipandu arah ke sebuah lagi pangsapuri dan merampas lagi pelbagai jenis dadah,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 2 Julai.

Menurut Datuk Kumar, sindiket itu menggunakan wadah media sosial untuk menjual dadah dengan modus operandi mereka akan berhubung menerusi WeChat dan kemudian meninggalkan dadah di tempat dipersetujui kedua-dua pihak seperti tepi jalan, tepi longkang dan tempat sampah yang mana tempat yang tidak disyaki pihak berkuasa.

Katanya dalam serbuan itu polis merampas 16.86 kilogram (kg) serbuk ecstacy; 104 gram (g) ketamin; 1,950 pil erimin 5; 1,250g ecstacy dan 35 biji pil yaba yang semuanya bernilai lebih RM2.95 juta ($890,000).

“Semua dadah ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan seramai 59,971 orang penagih,” katanya.

Selain itu, Datuk Kumar berkata polis turut merampas alatan memproses dan membungkus semula dadah dan menyita lima kereta pelbagai jenis, wang tunai sebanyak RM9,100 dan barang kemas dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah lebih RM3.21 juta.

Beliau berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif methamphetamine dan semakan rekod pula mendapati tiga suspek lelaki mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Tiga suspek lelaki tempatan ini juga mempunyai rekod ‘wanted’ (dikehendaki polis) bagi kes mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg