JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan lima lelaki termasuk seorang warga Singapura dan merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM9 juta ($2.71 juta) dalam operasi di empat daerah di Johor, sejak 21 April lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata lima suspek termasuk warga Singapura, bersama dadah seberat hampir 70 kilogram (kg), ditahan dalam beberapa serbuan berasingan.
Katanya tiga lelaki menjadikan kenderaan sebagai tempat menyimpan dadah, manakala dua lelaki lagi menjadikan pangsapuri sewa sebagai tempat menyimpan bahan terlarang itu.
“Lelaki warga Singapura berusia 47 tahun ditahan dalam serbuan terakhir di sebuah pangsapuri di Danga Bay, Johor Bahru pada 10 malam, 23 April.
“Suspek dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu negaranya untuk menyewa pangsapuri tersebut sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Datuk M Kumar berkata operasi terawal pada 1.30 tengah hari, 20 April, menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dan merampas 9.35 kg Ecstacy dan 62 gram ketamin bernilai RM1.57 juta dari pangsapuri di Johor Bahru, yang disewa suspek sejak Mac lalu.
“Operasi seterusnya pada 11.30 malam, 21 April di sebuah jeti di Batu Pahat membawa kepada rampasan 20.71 kg syabu dan 13.99 gram pil Erimin 5 bernilai RM662,748 yang disimpan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Suspek berusia 36 tahun itu menggunakan kenderaan yang didaftarkan atas nama individu lain untuk menyimpan dadah berkenaan sebelum ia diedarkan ke negara jiran,” katanya pada sidang media di Johor, lapor Free Malaysia Today.
Datuk M Kumar, berkata polis turut menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan kereta sewa dengan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun di Kota Tinggi sekitar 9 malam, 23 April, dengan rampasan 20 kg Ecstacy bernilai RM3.34 juta yang disimpan dan diproses dalam sebuah kereta.
“Dalam serbuan di Kluang pada 1.30 tengah hari, 23 April, pihak polis merampas 9.90 kg Ecstacy, 187.30 gram ketamin, dan 78.30 biji pil Erimin 5 bernilai RM1.69 juta, yang disimpan dalam sebuah kereta oleh suspek berusia 33 tahun.
Beliau berkata polis merampas 10 kg serbuk Ecstacy, 31.30 gram ketamin, 44 gram ganja, sembilan gram heroin, enam gram pil Ecstacy dan 1.20 gram pil yaba di unit tersebut, dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.68 juta.
Semua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan kini direman bagi membantu siasatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg