KOTA BHARU (Kelantan): Jumlah rampasan dadah di Kelantan mencatatkan peningkatan sebanyak 49 peratus iaitu RM13.4 juta ($4.05 juta) sepanjang enam bulan pertama 2025, berbanding tempoh sama pada 2024 iaitu sekitar RM6.8 juta.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata jumlah tangkapan membabitkan kesalahan narkotik pula merekodkan seramai 14,618 individu.
“Daripada segi rampasan dadah menyaksikan peningkatan sebanyak 49 peratus, manakala bagi statistik tangkapan pula menyaksikan penurunan 3 peratus.
“Ini menunjukkan kejayaan besar dalam usaha memerangi sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah di Kelantan,” katanya, lapor Harian Metro.
Jelasnya, usaha memerangi jenayah dan dadah adalah satu bentuk jihad moden yang menuntut keikhlasan, keteguhan dan pengorbanan.
Justeru katanya, tema polis Kelantan ‘Jihad Dadah’ bukanlah retorik, tetapi adalah hakikat perjuangan pihaknya saban hari.
“Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan satu kejayaan besar yang membanggakan. Petugas dari Cawangan Unit Kereta Peronda (MPV) Daerah Kuala Krai berjaya melakukan rampasan dadah jenis ganja bernilai RM3.1 juta.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada anggota yang terbabit atas keberanian, kecekapan dan integriti tinggi yang ditunjukkan dalam melaksanakan tugas dengan penuh amanah.
“Inilah contoh sebenar anggota yang menjunjung tinggi nilai khidmat bakti, selaras dengan visi besar kita “Jihad Dadah.”
“Kejayaan ini bukan sekadar statistik, tetapi bukti nyata bahawa semangat jihat menentang dadah terus menyala dalam warga Polis Kelantan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg