Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HSA pertingkat usaha banteras ‘vape’: Lelaki diberkas di Bishan

Jul 14, 2025 | 8:22 PM
HSA, vape, dadah, Bishan, pemandu kereta, serbuan
Pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA) cuba menahan pemandu kereta yang cuba melarikan diri apabila diserbu. - Foto ST

Seorang lelaki berusia 27 tahun telah ditangkap pada 10 Julai semasa operasi serbuan yang dijalankan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk membanteras penjualan, pembelian dan penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’. 

Semasa operasi HSA di Bishan Street 13, lelaki itu menghidupkan enjinnya dan cuba memecut pergi ketika pegawai HSA menyerbu keretanya.

Seorang pegawai membuka pintu hadapan di sebelah kiri dan melompat ke dalam kereta tersebut yang sedang bergerak untuk menghalang suspek daripada melarikan diri.

Pemandu tersebut berhenti kira-kira 50 meter dari situ.

Wartawan akhbar The Straits Times (ST), yang menyamar sebagai pembeli yang berminat dalam talian, telah menghubungi empat penjual yang menawarkan ‘vape’ dan pod yang bercampur dengan etomidate, atau ‘Kpods’ di wadah media sosial termasuk Telegram.

‘Kpod’ adalah ‘vape’ yang mengandungi jus ‘vape’ yang dicampur dengan bahan-bahan dadah seperti etomidate atau ketamin.

Etomidate kini diklasifikasikan sebagai racun di bawah Akta Racun. Ini bermakna lesen diperlukan untuk mengimport atau menjualnya.

Di bawah Akta tersebut, mereka yang didapati memiliki atau menggunakan pod mengandungi etomidate boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda hingga $10,000, atau kedua-duanya sekali.

Seorang penjual yang menjawab dalam beberapa minit, mengatakan dia boleh menjual dua ‘Kpod’ dengan harga $140, termasuk penghantaran.

Selepas pertukaran mesej ringkas, penjual itu bersetuju untuk bertemu di Bishan, sambil berkata “seorang penghantar” akan memberikan barang itu.

Pada 3.45 petang, sebuah kereta berwarna kelabu tiba di lokasi dan seorang pegawai HSA yang menyamar sebagai pembeli menghampirinya.

Apabila pegawai itu mengenalkan dirinya sebagai pegawai penguat kuasa, lelaki itu panik dan cuba melarikan diri.

Ketika itulah seorang pegawai lain melompat ke dalam kereta apabila pemandu itu mula memecut keretanya.

Selepas lelaki itu ditahan, pegawai HSA menggeledah keretanya dan menemui beberapa sampul surat berwarna putih, mengandungi ‘Kpod’ yang telah ditanda untuk penghantaran.

Pegawai tersebut juga menemui beberapa fail, setiap satu dinamakan dengan jenama ‘Kpod’ yang berbeza seperti Zombie atau USDT.

Secara keseluruhan, pegawai HSA merampas 28 peranti ‘vape’ dan 814 pod ‘vape’ daripada kereta lelaki itu.

ST difahamkan sebilangan besar pod itu adalah ‘Kpod’.

Penemuan itu adalah lebih besar daripada yang dijangkakan. Suspek tersebut mendakwa dia hanya penghantar sahaja.

Pegawai HSA kemudian menyerbu kediamannya yang berhampiran dan menemui simpanan kecil ‘vape’ dan komponen berkaitan di dalam bilik tidurnya.

Dia merupakan penjual muda kedua yang ditangkap dalam masa beberapa minggu ini.

Dalam kejadian berasingan pada 23 Jun, HSA menyerbu sebuah kediaman di Yishun Avenue 6, di mana mereka menangkap seorang wanita berusia 22 tahun.

Tiga rakannya – dua wanita berusia 22 dan 33 tahun, dan seorang lelaki berusia 32 tahun – turut berada di flat tersebut.

Keempat-empat suspek kelihatan bingung dan gelisah apabila pegawai HSA memeriksa mereka.

Suspek kemudian mendakwa telah menghidu ‘Kpod’ sejurus sebelum serbuan.

Pegawai HSA menemui 219 ‘vape’ dan komponen berkaitan dalam serbuan tersebut, dengan sebilangan besar produk itu dipercayai adalah ‘Kpod’.

ST yang mengiringi anggota penguat kuasa dalam serbuan itu difahamkan bahawa keempat-empat mereka adalah rakan sekerja sebuah kelab malam.

Wanita berusia 22 tahun itu, yang bekerja sebagai pelayan, didakwa menjual ‘Kpod’ di media sosial, dengan pelanggannya termasuk rakan sekerjanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg