KUALA LUMPUR: Polis telah melengkapkan kertas siasatan (IP) kes 34 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan persundalan seks bebas, atau swingers, di sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kertas siasatan membabitkan 18 lelaki dan 16 wanita merangkumi penjawat awam dan pelajar institusi pengajian tinggi itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.
“Kami telah serahkan IP kepada DPP pada 29 Ogos dan sedang menunggu keputusan oleh DPP mengenai langkah seterusnya berkait kes itu,” katanya, sambil menambah dua lagi lelaki yang ditahan dipercayai ketua kumpulan itu masih dalam siasatan polis, lapor The Star.
Datuk Rusdi berkata walaupun tidak dapat dipastikan jumlah kewujudan sindiket seumpamanya, polis sentiasa menjalankan risikan bagi mengesan sindiket yang mempromosi kegiatan tidak bermoral itu, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam bagi membendung kegiatan haram itu.
Beliau berkata polis juga bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menutup laman web dan aplikasi yang melanggar undang-undang.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan 36 individu termasuk pelajar universiti dan penjawat awam ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket persundalan seks bebas.
Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal 2024 dengan menawarkan khidmat langganan secara dalam talian dengan jumlah pelanggan seramai 147,000 orang, yang disyaki diuruskan masing-masing seorang lelaki warga tempatan dan Singapura.
Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Penolong Pesuruhjaya Fadil Marsus, berkata kededua lelaki itu ditahan pada 27 Ogos lalu di sebuah kondominium di Puchong, Selangor, hasil risikan sejak Jun lepas oleh pihaknya dengan kerjasama SKMM.
Beliau berkata penahanan mereka hasil siasatan terhadap 34 individu berusia 19 hingga 41 tahun yang ditahan dalam serbuan di kondominium terbabit, terdiri daripada 14 lelaki dan 15 wanita tempatan, empat lelaki masing-masing warga Perancis, China, Republik Czech dan Nigeria serta seorang wanita Filipina.
Encik Fadil berkata polis turut merampas pelbagai barangan antaranya peralatan seks, komputer dan wang tunai.
“Kebanyakan mereka adalah rakyat Malaysia. Ini yang cukup membimbangkan. Mereka yang ingin sertai, akan ditapis terlebih dulu melalui sesi temuduga (panggilan video).
“Setelah lulus, baru datang dan sindiket akan maklumkan kepada peserta mengenai lokasi sehari sebelum acara dilakukan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg