Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Johor tumpaskan sindiket pelacuran, selamatkan 13 wanita

May 14, 2024 | 2:13 PM
Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M. Kumar (tengah), menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket pelacuran ‘Geng Bala’, seperti wang tunai, pasport, kondom dan telefon bimbit.
Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M. Kumar (tengah), menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket pelacuran ‘Geng Bala’, seperti wang tunai, pasport, kondom dan telefon bimbit. - Foto FACEBOOK POLIS DIRAJA MALAYSIA

JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan satu sindiket pemerdagangan manusia untuk eksploitasi seks selepas lapan ahli ‘Geng Bala’, termasuk dalangnya, diberkas dalam lima serbuan di Johor Bahru dan Kulai, Johor, antara 21 April hingga 1 Mei.

Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M. Kumar, berkata dalam operasi itu pihaknya menyelamatkan 13 wanita warga asing berusia 22 hingga 49 tahun yang menjadi mangsa sindiket berkenaan.

Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket terbabit aktif mendalangi aktiviti persundalan sejak November 2023.

Sindiket itu menggunakan modus operandi memperdaya mangsa dengan menawarkan kerja sebagai operator kilang dan pembantu menerusi ejen.

“Mangsa kemudiannya diuruskan ejen pekerjaan, termasuk tiket penerbangan dan pas lawatan, untuk memasuki Malaysia.

“Apabila tiba di negara ini menerusi pintu masuk antarabangsa, mangsa akan diajar memasuki Malaysia untuk tujuan melancong dan diberikan ‘wang tunjuk’ sebelum dibawa ke rumah transit (persinggahan),” kata Pesuruhjaya Kumar dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 14 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata sekiranya kemasukan mangsa ditolak, mereka akan dibawa ke negara jiran sebelum dibawa masuk ke Malaysia menerusi laluan tidak diwartakan.

Ketika berada di rumah persinggahan, pasport serta telefon bimbit mangsa dirampas sindiket itu sebelum mangsa dimaklumkan bahawa tiada lagi pekerjaan sebagai pekerja kilang mahu pun pembantu rumah.

“Akhirnya mereka hanya ditawarkan pekerjaan sebagai pelacur dan sekiranya mangsa enggan, mereka dikehendaki membayar ganti rugi sebanyak RM11,000 ($3,146.78) sebagai kos perbelanjaan ke negara ini.

“Mangsa terpaksa menjadi pelacur dan hasil siasatan mendapati mereka dipaksa melayan sehingga 35 pelanggan sehari dengan bayaran antara RM100 hingga RM200 seorang, manakala untuk semalaman sebanyak RM300,” katanya.

Pesuruhjaya Kumar berkata lapan ahli sindiket yang diberkas itu terdiri daripada empat warga tempatan, termasuk ketua sindiket, dan empat warga asing.

Menurutnya, semua mangsa sekarang ditempatkan di rumah perlindungan sementara, manakala semua suspek dituduh di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru pada 14 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg