Polis marin M’sia-S’pura perketat rondaan Selat Johor jelang Raya
Polis marin M’sia-S’pura perketat rondaan Selat Johor jelang Raya
ISKANDAR PUTERI (Johor): Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua mengerahkan 150 anggotanya bersama 20 bot ronda untuk mengawal perairan Johor sepanjang Aidilfitri.
Komander PPM Wilayah Dua, Penolong Pesuruhjaya Noor Azman Jamal berkata rondaan ini turut diperkukuh melalui kerjasama dan persefahaman yang telah lama terjalin dengan Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura.
Fokus pemantauan PPM Wilayah Dua adalah perairan Selat Johor Barat, dari Tambak Johor sehingga ke perairan Tanjung Piai, Pontian.
“Selain itu, pemantauan juga dilakukan di perairan sebelah timur, dari Tambak Johor sehingga ke perairan Pengerang dekat Kota Tinggi,” katanya kepada Bernama ketika mengadakan pertemuan dengan PCG di perairan Selat Johor Barat pada 10 Mac.
Turut hadir ialah Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (Operasi/Risik) Bukit Aman, Penolong Pesuruhjaya Zulkifli Mahmood dan Komander PCG, Penolong Pesuruhjaya Kanan Ang Eng Seng.
Encik Noor Azman berkata pemantauan ini bertujuan menguatkuasakan undang-undang, membenteras penyeludupan barangan kawalan seperti bahan api dan menahan pendatang tanpa izin.
Tahun 2025 menyaksikan kebanyakan rampasan melibatkan bahan api seperti petrol serta diesel, mercun, serta penangkapan pendatang tanpa izin.
Dalam semangat kerjasama ini, beliau berkata PPM bersama PCG akan terus mengukuhkan perkongsian maklumat dan operasi bagi memastikan kedaulatan undang-undang di perairan masing-masing.
“Kita telah lama jalin persefahaman dan penguatkuasaan, kerjasama ini turut dijalankan termasuk pada musim perayaan,” katanya lapor Harian Metro.
Terdahulu, pegawai dan anggota PPM Wilayah Dua serta PCG turut berbuka puasa bersama dalam pertemuan yang berlangsung hampir dua jam di atas bot ronda PA 14 milik PPM.

