Kapal persiaran ke S’pura terbakar: Seorang kru maut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kapal persiaran ke S’pura terbakar: Seorang kru maut

Kesemua 271 penumpang selamat, dengan 139 daripada mereka warga S’pura
Feb 20, 2026 | 12:14 PM

Kapal persiaran ke S’pura terbakar: Seorang kru maut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
MPA, World Legacy, cruise terbakar, kapal terbakar
Kejadian kebakaran di atas sebuah kapal penumpang berdaftar di Liberia, ‘World Legacy’, berlaku kira-kira 4 pagi pada 20 Februari. - Foto FACEBOOK MPA
Paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bersama kakitangan perubatan kecemasan berada di tapak kejadian untuk menawarkan sokongan perubatan.
Paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bersama kakitangan perubatan kecemasan berada di tapak kejadian untuk menawarkan sokongan perubatan. - Foto FACEBOOK MPA

Seorang anak kapal warga Indonesia dilaporkan meninggal dunia dan empat penumpang dibawa ke hospital selepas kebakaran melanda sebuah kapal persiaran yang sedang menuju ke Singapura pada awal pagi 20 Februari.

Daripada 271 penumpang, 139 ialah warga Singapura, kata Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA) Singapura dalam kenyataan sekitar 11.50 pagi.

Awal dari itu, dalam satu kenyataan media sekitar 8.40 pagi, ia menyatakan terdapat 224 penumpang di atas kapal tersebut, dengan 185 merupakan warga Singapura, berdasarkan maklumat awal yang diberikan pada waktu itu.

Semua penumpang selamat dipindahkan, tambah kemas kini MPA pada sekitar 1.10 petang.

Kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan rehat di dek sembilan kapal World Legacy sekitar 4 pagi dan telah dipadamkan oleh anggota bomba marin Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Penumpang yang memerlukan perubatan telah dirawat pihak paramedik.

Empat penumpang dibawa ke hospital bagi pemeriksaan perubatan lanjut.

Sebelum ini MPA berkata bot peronda MPA, Polis Pengawal Pantai (PCG) dan Divisyen Marin SCDF telah ke kapal tersebut, yang berlabuh di Kawasan Berlabuh Khas Raffles.

Menurut peta dalam talian MPA, kawasan berlabuh itu terletak antara Pulau Senang dengan Pulau Semakau.

Kebakaran dipadamkan dengan selamat tidak lama kemudian, kata MPA.

Terdapat 388 anak kapal di atas kapal yang berdaftar di Liberia itu, dan tiada warga Singapura dalam kalangan mereka.

Juruukur klasifikasi yang diambil pemilik kapal akan menaiki kapal tersebut bagi menilai kesan kerosakan dan pembaikan yang akan dilakukan sebelum mengembalikan kapal itu untuk diselenggara.

Seorang anak kapal utama akan kekal di atas kapal untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan dan operasi penting kapal tersebut, menyokong siasatan dan memastikan pengurusan selamat kapal itu semasa ia berlabuh, tambah MPA.

Baki anak kapal akan turun dari kapal itu, kata MPA, sambil menambah ia telah menubuhkan zon keselamatan di sekitar kapal tersebut.

Ia juga telah mengeluarkan penyiaran pengemudian bagi menasihatkan kapal yang berlalu agar tidak mendekat.

Mayat anak kapal yang meninggal dunia telah dialihkan ke darat, dan pihak berkuasa yang relevan sedang mengusahakan langkah susulan, kata MPA.

Pihak Kedutaan Indonesia di Singapura juga telah diberitahu.

Punca kebakaran masih disiasat.

Dragon Cruises, agensi pelancongan berpangkalan di Singapura yang mengurus pembangunan perniagaan tempatan bagi jenama World Cruises yang memasarkan World Legacy, berkata pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal adalah keutamaan kami,” kata jurucakapnya ketika menjawab pertanyaan pihak media sambil menambah maklumat terkini akan diberikan apabila tersedia.

World Legacy mempunyai lebih 300 kabin.

Berbeza daripada kebanyakan kapal persiaran, World Legacy, menawarkan fleksibiliti membolehkan penumpang memilih kunjungan singkat atas kapal untuk beberapa jam sahaja, atau menikmati pakej penginapan sehingga tiga hari dua malam.

Menurut jadual pelayaran Tahun Baru Cina yang dimuat naik di Facebook World Legacy by World Cruises, pelayaran pada 20 Februari dijadual tiba di HarbourFront pada 7 pagi sebelum berlepas pada 9 pagi.

Kapal itu kemudian dijangka kembali ke HarbourFront pada 6 petang sebelum berlepas semula pada 10.30 malam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg