Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis M’sia bentuk pasukan khas tangani kes jemaah haji terkandas di Makkah

May 31, 2024 | 10:19 AM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi menyiasat sebarang aduan jemaah haji negara itu yang terkandas di Makkah.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pasukan itu akan bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan tindakan lanjut diambil berpandukan peruntukan undang-undang tertentu dan sesuai dengan kesalahan yang dikesan.

Menurutnya, ia adalah tindakan proaktif PDRM dalam menangani isu berkenaan susulan laporan diterima berkait kes seumpama itu secara keseluruhan.

Antaranya, beliau berkata, polis menerima satu laporan di Negeri Sembilan yang mendakwa terdapat jemaah dari Malaysia terkandas di Makkah pada musim haji 2024.

“Hasil siasatan awal setakat ini mendapati isu dalam kes berkenaan adalah menjurus kepada bidang kuasa siasatan Lembaga Tabung Haji (TH).

“Bagaimanapun, sebagai tindakan proaktif menangani isu sebegini, JSJK telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 Mei, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Datuk Ramli menjelaskan PDRM, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta TH masing-masing mempunyai undang-undang berbeza untuk menangani isu sedemikian, bersesuaian dengan kesalahan yang berlaku.

“Justeru, penubuhan Pasukan Petugas Khas ini adalah bagi memastikan sebarang aduan yang diterima dapat ditangani secara lebih berkesan,” jelasnya.

Sebelum ini dilaporkan TH diarah menyiasat kejadian 300 anggota jemaah haji yang dilapor terkandas di Makkah selepas terpedaya dengan pakej haji murah yang ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya memantau perkembangan kes sindiket penipuan membabitkan jemaah yang dijanjikan visa haji dan didakwa ‘terkandas’ di Tanah Suci.

Menurutnya, adalah difahamkan, setakat ini terdapat satu kes sedang dalam peringkat siasatan PDRM.

“Jadi, dari segi siasatan (di pihak SPRM), tiada. Biarlah polis yang menjalankan tindakan lanjut, tetapi kami memantau perkembangan itu.

“Kes penipuan baru-baru ini (yang dilaporkan kepada PDRM) membabitkan jemaah kita yang diperdaya untuk menunaikan haji menggunakan visa pelancong.

“Malangnya masih ada yang tertipu, sedangkan kita tahu bila masuk musim haji, visa umrah atau visa pelancong adalah dilarang sama sekali dan kerajaan Arab Saudi akan sekat (kemasukan) mereka,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg