MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) Malaysia memperuntukkan RM37.54 juta ($10.75 juta) bagi menampung penyediaan dua juta pek makanan bagi 31,600 anggota jemaah negara itu musim haji 2024.
Makanan itu disediakan oleh lapan syarikat penyedia makanan di Makkah dan Madinah.
Ketua Rombongan Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata ada peningkatan kos bahan mentah, bahan diimport, kos pengangkutan dan pelbagai cukai yang perlu dibayar kepada kerajaan Arab Saudi.
“Bagaimanapun, kos ditanggung TH tetap sama kerana kontrak jangka panjang yang ditandatangani bersama pihak penyedia makanan.
“Ini antara perkara mencabar bagi TH, iaitu bagaimana menangani kos dan pada masa yang sama menyediakan perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji.
“Setiap tahun, kerajaan menentukan proses dan kemudahan tertentu yang perlu ditambah baik, maka dapur juga perlu melalui penambahbaikan dan ia membabitkan kos,” katanya kepada wartawan di Makkah, lapor Berita Harian Malaysia.
Syed Saleh berkata ada antara syarikat penyedia makanan itu dikekalkan dan sudah lama bersama TH, namun ada juga syarikat yang baru dipilih menyediakan makanan untuk jemaah Malaysia.
Syarikat penyedia makanan perlu memenuhi piawaian antarabangsa atau sistem pengurusan keselamatan makanan yang ditangani melalui analisis dan kawalan bahaya biologikal, kimia serta fizikal, ujar beliau.
“Ia merangkumi pengeluaran bahan mentah, perolehan dan pengendalian, kepada pembuatan, pengedaran dan pengambilan produk siap,” katanya.
Syed Saleh berkata Unit Kesihatan Awam TH akan membuat pemeriksaan mengejut sepanjang musim haji.
Kedatangan yang tidak dimaklumkan lebih awal, katanya, menjadikan syarikat penyedia makanan sentiasa beroperasi pada tahap terbaik.
“Sebelum beroperasi, penyedia makanan perlu melalui proses saringan penilaian ketat oleh kerajaan Arab Saudi, iaitu mereka perlu memohon kebenaran menerusi pejabat Gabenor Makkah dan Bandaraya Makkah serta Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Penguatkuasaan dan mendapatkan sijil kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi,” katanya.
Syed Saleh berkata pihaknya menetapkan semua dapur menghantar sajian menggunakan kenderaan yang dibenarkan pihak berkuasa dan disimpan dalam kotak pemanas sebelum dibawa ke hotel pada masa yang ditetapkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg