KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan dalang kes surat mengandungi nota berbaur ugutan dihantar bersama dua butir peluru kepada Ahli Parlimen (AP) Seputeh, Teresa Kok, pada 18 Mei.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima satu laporan berhubung kes itu pada malam tadi pada hari sama.
Beliau berkata hasil siasatan awal pihak polis mendapati sampul surat yang dikirim itu mengandungi sekeping nota berbentuk amaran dan dua butir peluru.
“Kes masih pada peringkat siasatan dan pihak polis memandang serius perkara ini.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 Mei, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Terdahulu, media melaporkan Cik Kok dalam hantaran menerusi Facebook mendakwa beliau menerima ugutan bunuh dalam surat yang dihantar ke rumahnya bersama dua butir peluru hidup.
Beliau, yang juga Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), memaklumkan surat ugutan berserta peluru itu ditemui dalam sampul yang diletakkan di peti surat kediamannya.
Susulan itu, Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil, dilaporkan mengecam tindakan ugutan terbabit yang disifatkan sebagai begitu memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.
“Saya difahamkan, beliau (Kok) sudah membuat laporan polis dan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.
“Saya kesal kerana perkara seperti itu tidak harus dilakukan terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang telah dipilih oleh rakyat,” katanya.
Sementara itu, Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyatakan solidariti parti itu terhadap AP itu dan mengutuk keras insiden ugutan bunuh terhadap pemimpin DAP itu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Cik Kok berhak mendapat semua perlindungan daripada apa-apa juga perbuatan jenayah yang bertentangan dengan undang-undang.
Beliau berkata PAS juga menuntut agar siasatan dan pendakwaan terhadap pihak terbabit disegerakan memandangkan kes keganasan seumpama itu kerap berlaku sejak kebelakangan ini membabitkan ahli politik, anggota pasukan keselamatan, ahli sukan, ahli perniagaan dan sebagainya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg