KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat menjejak pesalah seksual lain yang terlibat dalam kegiatan penyimpanan bahan pornografi kanak-kanak dan dewasa.
Ia turut berikrar tidak bertoleransi terhadap kegiatan jenayah seks kanak-kanak.
Kenyataan itu dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, selepas Op Pedo, yang dijalankan PDRM sejak 23 Disember di seluruh Malaysia dan berjaya menahan 13 lelaki termasuk seorang warga emas.
Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian dengan memiliki, menyimpan dan mengedar bahan lucah serta bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (CSAM).
Dalam Op Pedo itu, suspek berumur antara 20 dengan 74 tahun ditahan dalam operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.
Pihak berkuasa turut merampas 40,000 bahan CSAM dan kandungan pornografi daripada pelbagai peranti termasuk komputer, telefon bimbit dan cakera keras luaran.
Berikutan itu, Tan Sri Razarudin berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan SKMM untuk memburu pesalah seksual kanak-kanak.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Kami bekerjasama dengan SKMM bagi mengesan dan mendapatkan maklumat berkaitan.
“Polis juga menyiasat lanjut bagi mengenal pasti kegiatan ini melibatkan sindiket atau secara individu, selain usaha mengesan pelaku lain untuk tindakan lanjut sedang dilakukan,” katanya, lapor Kosmo!.
Akhbar New Straits Times sebelum ini melaporkan Op Pedo bertujuan menjejaki pesalah seksual terhadap kanak-kanak melalui kegiatan dalam talian, terutama di wadah media sosial.
Selain itu, ia juga bertujuan memberi kesedaran kepada ibu bapa, masyarakat, dan penyedia platform mengenai tanggungjawab melindungi keselamatan kanak-kanak.
Dalam banyak kes, pihak berkuasa berdepan dengan keluarga yang terkejut apabila mengetahui ahli keluarga mereka secara diam-diam menyimpan bahan CSAM.
Dalam salah satu serbuan di Selangor, iaitu kawasan kejiranan mewah di Petaling Jaya, pihak berkuasa menemui 3,500 bahan lucah dalam komputer suspek, manakala dalam satu lagi serbuan lain di Klang membawa kepada penemuan lebih 500 gigabait (GB) kandungan lucah, sebahagiannya disyaki adalah CSAM.
Dalam beberapa kes, bahan lucah terbabit disimpan dalam komputer suspek di bawah nama seperti Kids (kanak-kanak) dan Rape (rogol).
Beberapa suspek, apabila disoal siasat polis mendakwa tidak menganggap tindakan mereka serius hingga boleh menyebabkan penahanan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen (AP) Malaysia telah menggesa kerajaan supaya menyemak sukatan pelajaran Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial (Peers) bagi sekolah rendah dan menengah di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Cik Yeo Bee Yin, menyuarakan kebimbangan selepas mendedahkan dapatan jawatankuasa itu bahawa kanak-kanak seawal usia lapan tahun sudah mula terlibat dalam kes pengantunan seksual (sexual grooming) dan jenayah seksual.
Cik Yeo berkata jawatankuasa itu mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia menambah beberapa lagi aspek dalam kurikulum kanak-kanak, termasuk taktik pedofilia dengan lebih menyeluruh selain lebih meningkatkan kesedaran tentang penyakit kelamin.
“Mereka mesti diajar aspek sentuhan selamat dan tidak selamat, termasuk dalam situasi yang melibatkan ahli keluarga atau individu yang mereka kenali,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg