KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen (AP) Malaysia telah menggesa kerajaan menyemak sukatan pelajaran Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial (Peers) bagi sekolah rendah dan menengah di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Cik Yeo Bee Yin, menyuarakan kebimbangan selepas mendedahkan dapatan jawatankuasa itu bahawa kanak-kanak seawal usia lapan tahun sudah mula terlibat dalam kes antun seksual (sexual grooming) dan jenayah seksual.
“Kami percaya ada keperluan untuk menilai sama ada kanak-kanak di Malaysia benar-benar memahami isu berkaitan seksualiti di sekolah.
“Adakah sukatan pelajaran pendidikan kesihatan yang diajar di sekolah mencukupi untuk melindungi anak-anak kita daripada risiko jenayah seksual yang semakin membimbangkan?” tanya beliau semasa membentangkan laporan mengenainya pada sesi taklimat di Parlimen, lapor MalayMail.
Cik Yeo, yang juga AP Puchong (Selangor), berkata sukatan pelajaran Peers mesti diubah sesuai mengikut perkembangan zaman.
“Sudah tiba masanya kementerian mengkaji semula sukatan pelajaran Peers kerana anak-anak kita sekarang lebih cepat matang pada usia yang lebih muda,” katanya.
Cik Yeo berkata jawatankuasa itu mencadangkan Kementerian Pendidikan menambah beberapa lagi aspek dalam kurikulum kanak-kanak, termasuk taktif pedofilia dengan lebih menyeluruh dan lebih meningkatkan kesedaran tentang penyakit kelamin.
“Mereka mesti diajar aspek sentuhan selamat dan tidak selamat, termasuk dalam situasi yang melibatkan ahli keluarga atau individu yang mereka kenali,” katanya.
Jawatankuasa itu juga, kata Cik Yeo, mengusulkan supaya kementerian menyediakan sukatan pelajaran yang disesuaikan mengikut jantina lelaki dan perempuan semasa kelas Peers, dan tidak hanya menggunakan sukatan pelajaran serupa.
“Ini akan membantu mereka berasa lebih selesa membincangkan topik sensitif dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik,” katanya.
Kementerian Pendidikan juga disyorkan memasukkan topik berkenaan undang-undang yang melibatkan tanggungjawab kanak-kanak serta hukuman berkaitan kesalahan jenayah seksual.
“Ini adalah dapatan jawatankuasa di semua institusi pemulihan di mana sebahagian besar mereka telah melibatkan diri dalam kes seks secara suka sama suka... mereka tidak tahu seks bawah umur adalah satu jenayah,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg