KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan 856 pegawai dan anggota bagi memastikan kelancaran aliran trafik, menyusuli tiga acara berskala antarabangsa yang berlangsung serentak di Lembah Klang, Putrajaya dan Sepang, Selangor, hujung minggu ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, berkata langkah itu bagi mengelakkan rangkaian jalan raya di pusat bandar 'lumpuh’.

Tiga acara utama berkenaan ialah perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTDL); Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Selangor; dan larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KL Marathon).

Beliau berkata bagi acara F1, hanya pengunjung yang mempunyai tiket dan pas parkir sah dibenarkan membawa kenderaan masuk ke kawasan SIC.

Jelasnya, pihaknya sudah membuat persiapan dan perancangan penugasan secara menyeluruh bagi memastikan tahap keselamatan serta aliran trafik sentiasa berada pada tahap optimum.

“Ini sekali gus mengelakkan sistem jalan raya di pusat bandar ‘lumpuh’.

“Bagi memastikan penugasan dapat dilaksanakan dengan berkesan, bantuan keanggotaan daripada kontinjen luar turut digerakkan bagi memperkukuhkan kekuatan sedia ada,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata bagi LTDL, JSPT mengatur penugasan 16 pegawai dan 146 anggota merangkumi Race Team dan kawalan keselamatan di venue.

“Bagi acara F1 pula, 15 pegawai dan 352 anggota digerakkan secara dua syif, termasuk 130 anggota bantuan dari kontinjen luar bagi melancarkan pergerakan di sekitar litar dan laluan utama ke SIC.

“Untuk KL Marathon, kami menyediakan kekuatan keseluruhan 327 pegawai dan anggota bagi penugasan pada 3 dan 4 Oktober ini,” katanya.

Menyentuh penutupan dan lencongan jalan, Datuk Hasbullah menjelaskan pendekatan diambil JSPT adalah secara berperingkat bagi mengurangkan impak kesesakan kepada warga kota.

Bagi acara KL Marathon pada 3 Oktober membabitkan kategori 5 dan 10 kilometer (km), penutupan jalan akan bermula pada 6 pagi dan laluan dijangka buka sepenuhnya sekitar 10 pagi.

“Pada 4 Oktober pula, acara membabitkan kategori 21km dan 42km. Penutupan jalan akan bermula seawal 2 pagi.

“Bagaimanapun, jalan-jalan yang terbabit akan dibuka semula secara berperingkat sebaik sahaja peserta melepasi laluan berkenaan dan dijangka dibuka sepenuhnya pada 11.30 pagi,” katanya.

Bagi LTDL yang membabitkan laluan dari Muar ke Putrajaya, beliau berkata penutupan jalan tidak dilakukan secara keseluruhan serentak, sebaliknya mengikut pergerakan pelumba (rolling closure).

“Bagaimanapun, beberapa laluan di kawasan penamat di Putrajaya akan ditutup sehingga acara selesai dengan laluan alternatif disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Hasbullah menasihatkan orang ramai, khususnya mereka yang bekerja syif atau mempunyai urusan penting, supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan pengangkutan awam.

“Bagi acara F1, JSPT amat menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan bas perantara yang disediakan penganjur,” katanya.