SEPANG: Kehangatan Formula Satu (F1) kini kembali ke Malaysia apabila pelumba dan peminat mula berkumpul di negara itu menjelang penganjuran perlumbaan Grand Prix Bahrain Gulf Air pada 2 Oktober di Litar Antarabangsa Sepang.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut melakukan persediaan dalam menghadapi lonjakan tinggi penumpang, dengan kira-kira 200,000 penonton dijangka hadir dengan hari terakhir perlumbaan, 4 Oktober, diramal menjadi hari paling sibuk.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani, berkata hotel di lapangan terbang itu, Hotel Sama-Sama, turut habis ditempah oleh tetamu acara F1.

Satu pasukan khas yang melibatkan Malaysia Airports dan beberapa agensi kerajaan telah ditubuhkan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang sepanjang acara tiga hari itu, tambahnya.

“Kami ada di sini bagi memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar dan kami akan menyokong (proses tersebut) sebaik mungkin,” katanya kepada media selepas majlis sambutan penerbangan terus sulung Gulf Air dari Bahrain ke Kuala Lumpur di Terminal 1 KLIA, pada 30 September.

Menurut Datuk Izani, hari terakhir perlumbaan pada 4 Oktober dijangka mencatatkan jumlah penumpang paling tinggi.

“Kami mahu memastikan pergerakan orang ramai yang menghadiri acara ini berjalan lancar. 

“Kami akan menyediakan kemudahan tempat letak kereta, namun kami amat menggalakkan pengunjung agar menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan, memandangkan tempat letak kereta di Kuala Lumpur agak terhad,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Gulf Air, Encik Martin Gauss, berkata syarikat penerbangan itu telah menambah enam penerbangan khusus sempena hujung minggu F1 berikutan sambutan yang amat menggalakkan.

“Kami tiba dengan pesawat penuh, dan tiket untuk penerbangan ini telah habis dijual. Kami mempunyai enam lagi penerbangan sempena Grand Prix Bahrain Gulf Air hujung minggu ini,” katanya.

Encik Gauss turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia dan Bahrain atas usaha mereka membantu syarikat penerbangan itu kembali beroperasi di Malaysia serta usaha mereka dalam menjayakan penganjuran acara F1 berkenaan.

“Saya tahu ia memerlukan kerja keras daripada kedua-dua pihak untuk menjayakannya. Kami sangat bangga kerana Bahrain dapat menganjurkan perlumbaan Formula 1 di Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, Gulf Air berharap acara F1 tersebut akan menggalak lebih ramai rakyat Malaysia melawat Bahrain.

“Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan melawat Bahrain pada tahun-tahun mendatang, kerana kami juga berharap dapat membawa ramai pelancong ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata kepulangan semula Gulf Air ke Malaysia akan membantu menampung permintaan perjalanan udara antarabangsa yang semakin meningkat.

Trafik penumpang di seluruh negara diramalkan mencapai antara 103.8 juta dengan 109.7 juta pada 2026.

“Kepulangan Gulf Air membantu memenuhi unjuran kerajaan sekali gus menampung permintaan perjalanan antarabangsa yang kian meningkat,” katanya.

Menurut Datuk Hasbi, lapangan terbang di Malaysia secara keseluruhan telah mengendalikan 104.5 juta penumpang pada 2025, iaitu peningkatan 11.4 peratus berbanding 2024, dengan KLIA sahaja mengendalikan 63.4 juta penumpang.

Kerajaan bersama-sama Malaysia Airports sedang melabur dalam prasarana lapangan terbang serta memodenkan sistem pemprosesan penumpang bagi menampung peningkatan jumlah penumpang, tambahnya.

Peningkatan keupayaan itu merangkumi teknologi canggih bagi pengendalian bagasi, pintu imigresen automatik dan pendigitalan terminal bagi meningkatkan kecekapan operasi serta pengalaman penumpang di KLIA. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti