Topik diikuti
Pergi ke BHku4,500 peminat bakal peluang saksi persiapan pasukan F1 di Grand Prix S’pura
Sehingga 4,500 peminat berpeluang menyaksikan dari dekat persiapan 11 pasukan perlumbaan Formula Satu (F1) bagi Grand Prix Singapura menerusi ‘Thursday Pit Lane Experience’.
Undian awam bagi acara pada 8 Oktober itu telah dibuka, dan mereka yang berjaya dalam undian itu berpeluang berjalan di sepanjang lorong pit sebelum Circuit Park dibuka secara rasmi bagi perlumbaan hujung minggu pada 9 hingga 11 Oktober, menurut penganjur Singapore GP pada 2 September.
Undian itu terbuka kepada semua warga Singapura dan penduduk tetap (PR), tanpa perlu memiliki tiket perlumbaan untuk menyertainya. Setiap pemohon yang berjaya akan menerima sepasang tiket ke ‘Thursday Pit Lane Experience’.
Pengunjung juga berpeluang meneroka F1 Village di Zon 1 dan menikmati pelbagai aktiviti menarik pada 8 Oktober.
Undian berakhir pada 11.59 malam, 18 September.
Grand Prix Singapura sebelum ini mengumumkan barisan hiburan yang dibintangi beberapa nama terkenal, termasuk kumpulan rok Amerika Syarikat The Killers, penyanyi Lana Del Rey dan bintang Mandopop Singapura, JJ Lin.
Litar Marina Bay akan menjadi tuan rumah Grand Prix Singapura kali ke-17 sejak 2008, dengan pelumba Mercedes George Russell sebagai pemenang terbaharu pada 2025.
Edisi 2026 akan menyaksikan perlumbaan pecut diadakan di sini buat julung kalinya pada 10 Oktober, menjelang perlumbaan malam ikonik pada 11 Oktober.
Pelumba Mercedes Kimi Antonelli sedang mendahului Kejuaraan Pemandu F1 2026 dengan 242 mata, diikuti Russell dan pelumba Ferrari Lewis Hamilton yang masing-masing meraih 183 mata.
