KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membekukan dan merampas aset bernilai kira-kira RM409 juta ($128.01 juta) dalam siasatan berterusan berhubung dakwaan kegiatan ‘mafia korporat’ di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan itu membabitkan lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai sekitar RM323.59 juta serta 404 akaun bank mengandungi baki kira-kira RM85.62 juta.

Beliau berkata seramai 70 individu sudah dirakam keterangan masing-masing oleh PDRM setakat 25 September lalu, bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun beliau berkata tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenal pasti dalam kalangan saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan kes ‘mafia korporat’ menerusi Op Viking.

“Berdasarkan latar belakang dan identiti individu-individu saksi yang dipanggil untuk rakaman percakapan, tiada pegawai SPRM terlibat atau pun dikenal pasti bagi tujuan membantu siasatan,” katanya, lapor portal berita Malaysiakini.

Datuk Saifuddin berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen pada 28 Oktober, bagi menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau meminta penjelasan mengenai skop dan status terkini siasatan PDRM terhadap dakwaan ‘mafia korporat’ dan penjelasan mengenai kemungkinan penglibatan pegawai SPRM atau agensi penguat kuasa lain, serta dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Pendedahan mengenai skandal ‘mafia korporat’ dilakukan media antarabangsa, Bloomberg pada Februari lalu.

Bloomberg mengaitkan isu ‘mafia korporat’ dengan pembabitan pegawai kanan SPRM yang dipimpin mantan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Agensi itu pada 12 Februari lalu melaporkan dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ menyusup masuk ke SPRM dengan mengaitkan pegawai tertinggi agensi itu dalam skim yang didalangi rangkaian ahli perniagaan bagi mengambil alih syarikat tertentu.

Dakwa Bloomberg, mereka menyasarkan syarikat milik tempatan, menyingkirkan pengasasnya sebelum mengambil alih kawalan entiti berkenaan.

Menurut Datuk Saifuddin, Op Viking masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan bahawa PDRM komited melaksanakan siasatan ini mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Media Malaysia sebelum ini turut melaporkan, polis menyita dan membekukan aset bernilai hampir setengah bilion ringgit dalam satu kejayaan besar siasatan berterusan terhadap sindiket pengubahan wang haram yang canggih dalam Op Viking.

Sementara itu, pasukan siasatan terbabit dipetik sebagai berkata kes berkenaan dibuka pada Oktober 2025, hasil risikan dikumpul sejak 2018.

Ia membabitkan rangkaian kesalahan yang kompleks, daripada pinjaman wang haram dan manipulasi pasaran saham sehinggalah pelanggaran pendedahan korporat.