PUTRAJAYA: Polis Malaysia masih menjalankan siasatan ke atas seorang guru wanita yang dikatakan melakukan kesalahan seksual terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, berkata polis menerima laporan pada 12 Disember lalu mendakwa suspek yang berusia 37 tahun mencabul mangsa, ketika mengulang kaji bersama guru terbabit di perpustakaan sekolah.
Katanya, laporan dibuat pada 10.30 malam oleh ibu mangsa berusia 46 tahun yang mendakwa terdapat kesan kemerahan pada leher anak lelakinya, selepas mangsa pulang daripada ulang kaji matematik bersama suspek.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 12 Disember lalu kira-kira 4.50 petang apabila mangsa yang sepatutnya pulang ke rumah sebaliknya masih bersama suspek di perpustakaan,” katanya dalam kenyataan pada 24 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini tular di media sosial seorang guru wanita bercinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun walaupun sudah mempunyai suami dan lima orang anak.
Encik Wan Kamarul berkata polis akan melengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan sebatan.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius kes salah laku seksual yang membabitkan guru dan murid seperti dilaporkan oleh media.
KPM dalam satu kenyataan berkata kes berkenaan kini berada dalam perhatian kementerian dan tindakan sudah diambil mengikut garis panduan sedia ada.
“KPM juga bersedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Tiada tolak ansur terhadap kesalahan seksual di institusi pendidikan KPM. Justeru, semua pihak digesa untuk melaporkan kes jenayah seksual supaya tindakan tegas dapat diambil,” menurut kenyataan medianya pada 25 Mac.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg