KUALA LUMPUR: Polis Malaysia menumpaskan dua sindiket dadah jenis syabu, ketamin dan bunga ganja dalam dua serbuan berasingan di dua unit kediaman sekitar ibu kota negara itu pada 29 Julai.
Dalam kedua-dua serbuan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, merampas dadah bernilai RM19.26 juta ($5.86 juta) bagi diedarkan ke pasaran tempatan dan negara jiran.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dalam serbuan pertama pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun di sebuah rumah teres di Taman Sri Hartamas pada 2.10 petang.
“Kita merampas 225 bungkusan plastik mengandungi dadah syabu seberat 234 kilogram (kg) dan 200 bungkusan plastik dadah ketamin anggaran berat 205.7kg yang dianggarkan bernilai RM17.78 juta.
“Siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan menerima gaji RM7,000 sebulan, daripada sindiket pengedaran dadah.
“Dia menerima arahan daripada seseorang untuk menghantar dadah sekiranya terdapat permintaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada 4 Ogos.
Datuk Hussein berkata jumlah dadah yang dirampas itu mampu merosakkan 1.8 juta orang yang menggunakannya.
“Kita percaya sindiket ini aktif sejak Jun lalu dan menyasarkan pasaran di sekitar Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta pasaran negara jiran.
“Sindiket yang disyaki mendapatkan bekalan dari negara jiran di bahagian utara Semenanjung Malaysia ini dikesan hasil daripada maklumat awam sebelum kita menjalankan perisikan selama sebulan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam serbuan kedua, Datuk Hussein berkata pihaknya menahan seorang lelaki tempatan serta seorang lelaki dan dua wanita warga asing di sebuah apartmen di Taman Kuchai Entrepreneur, Kuchai Lama, di sini, pada 12 tengah hari.
“Kita menahan dua lelaki dan dua wanita berusia antara 26 dengan 30 tahun ini berdasarkan maklumat dan risikan tentang aktiviti pengedaran bunga ganja.
“Ketika serbuan, pihak polis menemui lapan kotak berisi 91 bungkusan disyaki bunga ganja seberat 42.3kg, dianggarkan bernilai RM1.48 juta di bahagian ruang tamu,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg