KUALA LUMPUR: Polis Malaysia menolak kemungkinan ancaman bom yang diterima 51 sekolah di seluruh negara pada awal minggu ini, ada kaitan dengan pendirian tegas negara dalam memperjuangkan isu Palestin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya telah membuka 10 kertas siasatan berhubung kes berkenaan, namun menolak andaian ancaman bom itu ada kaitan dengan ketegasan Malaysia dalam isu Palestin.
“Siasatan kami tidak menunjukkan ancaman itu ada kaitan dengan pendirian kukuh Malaysia dalam isu Palestin, namun siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif penghantaran e-mel ancaman itu,” katanya, lapor The Star, pada Jumaat.
Datuk Shuhaily berkata PDRM bekerjasama dengan Biro Siasatan Federal (FBI) Amerika Syarikat dan Polis Antarabangsa (Interpol) dalam usaha mengesan suspek serta mengenal pasti motif ancaman bom berkenaan.
“Kami sedang berusaha mengenal pasti dan mengesan suspek dengan bantuan agensi penguatkuasaan lain dan tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan alamat protokol Internet (IP) melalui berbilang pelayan di luar negara,” katanya.
Berita Harian Singapura pada 22 November 2023 melaporkan, e-mel mengandungi maklumat palsu tentang bom yang mengganggu kelas di 19 sekolah di serata Malaysia dipercayai dihantar ke 70 sekolah di Jamaica awal November ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan terhadap kandungan e-mel itu mendedahkan bahawa ia pada asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris dan kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
Pelakon asal Singapura, Datuk Aaron Aziz, antara yang turut berkongsi detik cemas sekolah anaknya di Kuala Lumpur menerima ancaman bom berkenaan.
Mengulas lanjut, Datuk Shuhaily berkata setakat ini, 51 laporan polis telah dibuat di seluruh negara membabitkan e-mel ancaman bom diterima pihak sekolah.
“Kami menerima laporan daripada sembilan negeri membabitkan sekolah antarabangsa, sekolah swasta dan sekolah bantuan kerajaan.
“Jumlah laporan tertinggi adalah dari Selangor dengan 18 kes, (merangkumi) 11 sekolah antarabangsa dan tujuh sekolah swasta,” katanya.
Beliau berkata tujuh laporan direkodkan di Kuala Lumpur, diikuti enam di Johor, lima di Sarawak dan empat di Pulau Pinang, manakala Negeri Sembilan, Perak dan Kedah masing-masing mencatatkan tiga kes selain dua kes di Sabah.
Menurut Datuk Shuhaily, peningkatan jumlah laporan mengenai e-mel palsu ancaman bom sejak 21 November itu mungkin disebabkan pentadbir sekolah lewat membaca e-mel yang berkenaan.
“Kami percaya e-mel itu dihantar serentak ke semua sekolah yang terjejas. Malah, siasatan turut menunjukkan semua e-mel dihantar pengirim yang sama, iaitu ‘Taktstorer’.”
“Kami memandang serius perkara ini dan akan memantau keselamatan sekolah yang terjejas. Kes sebegini sebelum ini berlaku di Trinidad, Tobago dan Jamaica,” tambahnya.
“
“Siasatan kami tidak menunjukkan ancaman itu ada kaitan dengan pendirian kukuh Malaysia dalam isu Palestin, namun siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif hantaran e-mel ancaman itu... Kami percaya e-mel itu dihantar serentak ke semua sekolah yang terjejas. Malah, siasatan turut menunjukkan semua e-mel dihantar pengirim yang sama, iaitu ‘Taktstorer’.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg